Tengku Hassanal lancar Tabung Sukan Pahang

Tengku Hassanal lancar Tabung Sukan Pahang

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang memperkenal inisiatif terbaru bagi memperkasa prestasi dan kemajuan sukan di negeri ini menerusi Tabung Sukan Pahang.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah berkenan melancarkan inisiatif tersebut.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan, Fadzli Mohamad Kamal, ia menggambarkan sokongan luar biasa Tuanku terhadap kemajuan sukan di negeri ini.

“Tabung ini merupakan satu langkah besar, satu agenda yang terancang, serta satu komitmen yang tidak berbelah bahagi, untuk memperkasa prestasi dan kemajuan sukan di negeri Pahang.

“Pihak yang menyumbang kepada tabung ini bukan sahaja mendapat pelepasan cukai, tetapi juga turut berpeluang terlibat menjayakan program pembangunan atlet dan sukan berprestasi tinggi di negeri ini,” ujarnya.

Fadzli Mohamad Kamal

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Sukan Pahang 2021/2022, di sini, hari ini.

Pada majli itu, beliau turut mengumumkan inisiatif kerajaan negeri dalam usaha menjaga kebajikan atlet.

“Mulai Januari tahun depan, setiap atlet Pahang yang terpilih untuk menyertai Sukma di Sarawak, akan menerima elaun latihan minimum daripada RM100 sebulan sebelum ini kepada sekurang-kurangnya RM250 sebulan selepas ini.

“Manakala kadar elaun latihan bagi pemenang pingat emas Sukma 2022 yang lalu dinaikkan daripada RM350 sebulan sebelum ini, kepada RM500  sebulan bermula Januari tahun depan,” tambah Fadzli.

Selain menjadi pemangkin dan lonjakan semangat buat para atlet, beliau berkata, inisiatif itu juga merupakan komitmen dan pengiktirafan kerajaan negeri kepada mereka.

Sementara itu, atlet angkat berat, Mohamad Nasir Roslan dinobat sebagai penerima Anugerah Olahragawan Pahang manakala atlet badminton, Lai Pei Jing pula dinamakan sebagai Olahragawati Pahang. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Pahang lancar Tabung Amanah Sukan pertengahan September