nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra berkenan menerima sebuah bas Scania yang dipersembahkan oleh Konsortium E-Mutiara Berhad, malam tadi.
Penyerahan bas model K410 itu disampaikan oleh Pengerusi Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail selepas hasrat itu tertangguh sejak 2007.
Che Ibrahim menerusi ucapannya berkata, penyerahan bas yang dinamakan Sri Kijang Mahkota Kesayangan itu bertujuan bagi memudahkan Tengku Mahkota Kelantan menjelajah negeri mendekati rakyat.
“Hasrat untuk menyerahkan sebuah bas sudah lama bersemadi di hati iaitu pada 2007 ketika patik berpeluang mengiringi ayahanda Tengku Mahkota Kelantan, Almarhum Sultan Ismail Petra, kerabat Diraja Kelantan dan delegasi kerajaan negeri ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke New York.
“Pada waktu terluang dan berkesempatan berbual dengan Almarhun Tuanku, terdetik niat di hati patik untuk mempersembah sebuah bas khas yang selesa untuk kegunaan Tuanku semasa urusan menjelajah negeri, mendekati rakyat serta menghadiri majlis rasmi bersama rakyat jelata.
“Niat itu tidak pernah terpadam meskipun tertangguh. Berkesempatan bertemu dengan Tuanku Tengku Mahkota pada 2024 menjadikan niat ini kembali mengimbau.
“Alhamdulillah dengan izin Allah, hasrat itu akhirnya termakbul malam ini (malam tadi) untuk dizahirkan dengan penuh indah dan bermakna bagi patik, isteri serta seluruh warga Konsortium E-Mutiara Berhad selepas hampir 20 tahun tertangguh,” katanya.
Beliau turut berharap Tengku Mahkota berkenan menerima persembahan itu bukan kerana nilai zahirnya tetapi sebagai tanda keikhlasan rakyat yang ingin memudahkan perjalanan diamanahkan Tuanku bersama rakyat menjadi lebih mudah.
“Ia memandangkan Kelantan yang mempunyai jajaran daerah jauh dan dengan adanya sebuah bas yang selesa, dilengkapi ruang rehat, ruang solat, ruang mengadap dan pantri serta kamar kecil, ia memudahkan urusan rasmi Tuanku.
“Konsortium E-Mutiara Berhad amat terpanggil untuk turut serta menyantuni rakyat di bawah naungan Tuanku,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




