am@hmetro.com.my
Putrajaya: Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang akan bersara wajib pada usia 66 tahun akhir bulan depan, mengesahkan belum menerima tawaran untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan.
Tengku Maimun memberitahu pemberita, selain beliau, dua lagi hakim iaitu Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan juga masih belum menerima tawaran berkenaan.
Tengku Maimun berkata, mereka masih menunggu sama ada terdapat sebarang tawaran lanjutan.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada akan menimbangkan tawaran untuk menyambung perkhidmatan sebagai Ketua Hakim Negara selama enam bulan lagi.
“Saya belum menerima tawaran untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan. Termasuk saya, ada tiga masih menunggu lanjutan tempoh perkhidmatan, mereka ialah Tan Sri PCA dan Tan Sri Nallini.
“Sama ada saya akan menimbangkannya, saya rasa tidak patut untuk menjawabnya sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman hari ini.
Turut hadir Abang Iskandar, Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli.
Mac lalu, tempoh perkhidmatan Hasnah dan dua hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zabariah Mohamad Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah dilanjutkan selama enam bulan, berkuat kuasa dari masa mereka mencapai umur persaraan kehakiman 66 tahun.
Di bawah Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan, seorang hakim Mahkamah Persekutuan memegang jawatan sehingga umur 66 tahun, dengan kemungkinan dilanjutkan sehingga enam bulan, tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Pada majlis mengangkat sumpah berkenaan, Datuk Lee Swee Seng mengangkat sumpah di hadapan Tengku Maimun sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan selepas menerima watikah pelantikannya pagi tadi daripada Yang di-Pertuan Agong.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz, 63, dan Datuk Dr Lim Hock Leng, 63, juga dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan
© New Straits Times Press (M) Bhd