LUMUT: Kapal Tempur Pesisir (LCS) 2 milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilancarkan hari ini dan diberi nama Raja Muda Nala.
Upacara penamaan dan pelancaran kapal itu disempurnakan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin sambil disaksikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Pada majlis itu, baginda berdua menyaksikan simbolik pelancaran LCS 2 di mana sebuah kendi berisi air yang dibaca surah Yasin dari sembilan buah masjid dari sembilan daerah di Selangor dilepaskan ke dinding haluan kapal.
Majlis berlangsung di Limbungan Lumut Naval Shipyard Sdn. Bhd. (LUNAS) di Pangkalan TLDM Lumut, di sini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar.
Hadir sama, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain; Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris dan Ketua Pegawai Eksekutif LUNAS, Ir Azhar Jumaat.
Sementara itu, Adly ketika membacakan teks ucapan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, LCS 2 adalah simbol kebanggaan negara kerana merupakan kapal kelas frigat pertama yang dibina sepenuhnya oleh syarikat tempatan, LUNAS.
Katanya, proses pembinaan kapal itu bermula dengan majlis perletakan lunas atau ‘keel laying’ pada 28 Februari 2017.
“Dalam landskap keselamatan serantau dan global yang semakin kompleks, peranan TLDM kini semakin mencabar.
“Justeru, perolehan ini merupakan sebahagian daripada perancangan strategik TLDM dalam memperkukuh kesiapsiagaan armada menerusi pemilikan aset berteknologi tinggi, berkemampuan tempur dan berkeupayaan melaksanakan pelbagai operasi maritim demi mempertahankan kedaulatan perairan negara,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, nama Raja Muda Nala dipilih sempena nama anakanda Sultan Selangor pertama, Raja Muda Nala Shah Sultan Salehuddin Shah.
Katanya, Raja Muda Nala yang dilantik sebagai Raja Muda oleh kekandanya, Sultan Ibrahim Shah pada tahun 1782 merupakan tokoh pejuang tersohor yang memimpin perjuangan rakyat Selangor ketika menentang penguasaan Belanda.
“Peranan Raja Muda Nala dalam bidang ketenteraan amat terserlah khususnya melalui penglibatan baginda dalam peperangan menentang Belanda di Melaka serta usaha mempertahankan Bukit Malawati bersama Sultan Ibrahim daripada serangan Belanda.
“Walaupun akhirnya terpaksa berundur ke Pahang, baginda tetap kembali berjuang bersama yang lain untuk merampas semula Bukit Malawati pada tahun 1785.
“Ini secara tidak langsung mencerminkan keberanian dan tekad luar biasa yang wajar dicontohi oleh setiap warga ATM dan rakyat negara ini,” katanya.
Tambah beliau, semangat kepahlawanan, perjuangan dan keberanian Raja Muda Nala dilihat bertepatan dan selari dengan keupayaan LCS TLDM yang direka untuk menghadapi pelbagai bentuk ancaman dalam era peperangan moden.
Sebelum ini, LCS 2 dilaporkan telah diturunkan ke air pada 8 Mei lalu dan sedang meneruskan kerja pembinaan seterusnya dirancang memulakan aktiviti ‘Tetapan untuk bekerja’ (STW) pada September ini.
Pembinaan semua lima LCS dipantau rapi oleh Kementerian Pertahanan bersama pemegang taruh iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Peguam Negara. – UTUSAN