am@hmetro.com.my
Shah Alam: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berkenan menziarah dua pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang dirawat di Hospital Shah Alam selepas kenderaan dinaiki mereka dihempap pokok di Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7, Isnin lalu.
Ketibaan Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Pro Canselor UiTM kira-kira jam 2.30 petang disambut Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin serta Pengarah Hospital Shah Alam, Dr Ruzita Othman.
Baginda kemudian meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk melihat keadaan Dr Nur Shahidah Ab Aziz dan Dr Shareena Fairuz Abdul Manaf serta menitipkan pesan agar kedua-dua pensyarah itu berehat selain turut berkenan menyampaikan buah tangan kepada mereka.
Berkongsi perkembangan terkini dua pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia itu, Shahrin berkata, keadaan mereka bertambah baik dan dijangka dibenarkan pulang dalam masa terdekat.
“Kedua-duanya dalam keadaan yang sihat dan ceria serta boleh bergurau.
“Saya difahamkan oleh pengarah hospital dan pegawai perubatan bahawa berkemungkinan esok mereka akan mulakan fisioterapi ringan untuk membolehkan mereka menggerakkan anggota badan.
“Buat masa ini, mereka masih lagi menggunakan pendakap khas untuk mengurangkan pergerakan badan bagi memastikan tidak ada kesakitan sampingan,” katanya ketika ditemui di lobi Hospital Shah Alam, di sini, hari ini.
Ditanya tempoh untuk pemulihan kedua-dua pensyarah berkenaan, Shahrin berkata, ia memerlukan sekitar tiga bulan kerana membabitkan saraf.
Bagaimanapun, katanya, apa yang penting adalah kedua-duanya perlu berehat dan fokus kepada pemulihan diri.
Dalam pada itu, Shahrin turut menzahirkan ucapan terima kepada Tengku Permaisuri Norashikin atas kesudian memanjatkan doa untuk kesembuhan kedua-dua pensyarah supaya segera sembuh.
“Selain itu, terima kasih diucapkan kepada semua pihak termasuk warga UiTM keseluruhannya, pihak hospital, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, polis serta Majlis Bandaraya Shah Alam yang telah bekerja bersungguh-sungguh memastikan keselamatan dua pensyarah kami,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan dua pensyarah itu cedera selepas kenderaan jenis Mitsubishi Xpander dinaiki mereka dihempap pokok berdekatan sebuah pangsapuri di Persiaran Tun Arshad Ayub.
Dalam kejadian itu, Nur Shahidah mengalami luka di kepala yang memerlukan lapan jahitan serta patah tulang (C2) manakala Shareena Fairuz pula patah tulang (T5).
© New Straits Times Press (M) Bhd



