Tengku Zafrul hubungi Dr M ajak berjumpa

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun masih belum memberikan sebarang kata putus mengenai persetujuan atau tarikh bagi pertemuan terbabit.

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad memaklumkan beliau dihubungi Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang juga Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) pagi tadi.

Bercakap kepada pemberita di Langkawi hari ini, bekas perdana menteri itu berkata, tujuan panggilan itu dibuat adalah bagi mengatur satu pertemuan bersama yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Jawatankuasa PPN.

Bagaimanapun, pengerusi Pejuang itu menjelaskan, beliau masih belum memberikan sebarang kata putus mengenai persetujuan atau tarikh bagi pertemuan terbabit.

“Kita hendak tengoklah (pelaksanaan macam mana), nak tubuhkan badan (atau apa-apa jawatankuasa) itu mudah tetapi hendak buat kerja, (terutama) nak bagi kurang kes baharu (positif Covid-19) ini, memerlukan banyak idea baharu.

“Saya tak tahu menteri kewangan ini mempunyai idea macam mana nak kurangkan (jumlah kes), tetapi dia minta nak jumpa dengan saya, tak tahulah, saya tak buat keputusan lagi, saya dengar (dia telefon) pagi ini,” katanya menurut laporan Astro Awani.

Dalam pada itu, Mahathir turut berharap agar kerajaan tidak menambahkan lagi kemarahan rakyat dengan beberapa tindakan serta pelan yang disifatkannya sebagai sia-sia dan hanya memburukkan keadaan.

Jumaat lalu, Zafrul secara rasmi dilantik sebagai Menteri Penyelaras PPN.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO), Jemaah Menteri bersetuju Zafrul memikul tanggungjawab untuk memantau pelaksanaan strategi dan bantuan serta mengambil langkah intervensi yang proaktif dan bersesuaian dengan situasi pandemik Covid-19 yang sangat dinamik.