Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menegaskan bahawa rundingan tarif timbal balas antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) tidak boleh dianggap gagal biarpun dikenakan kenaikan tarif yang baharu kepada 25 peratus.
Tengku Zafrul tegaskan rundingan tarif tidak gagal

Foto: TalentCorp
Memetik laporan Berita Harian, menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, menjelaskan proses rundingan dan libat urus bersama wakil perdagangan AS masih berjalan secara konstruktif biarpun mempertahankan prinsip multilateralisme.
“Ini bukanlah soal rundingan telah gagal. Ini juga bukan soal bahawa Malaysia atau dunia sedang berdepan dengan krisis. Namun, seperti dalam semua rundingan, mesyuarat dan platform, kita terus memperkukuh pendirian bahawa kita menyokong prinsip multilateralisme.
“Kita percaya kepada sistem perdagangan berasaskan peraturan, dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai terasnya. Ini adalah perkara utama.
“Pada masa sama, sepanjang rundingan ini, penting untuk dinyatakan bahawa Malaysia terus bersikap berkecuali dalam pendekatannya. ASEAN juga begitu. Kita percaya kepada pendirian berkecuali ASEAN dan kita akan terus berinteraksi dengan semua pihak,” kata Zafrul di Kuala Lumpur hari ini.

Foto: Utusan
Terdahulu pada Selasa, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan akan mengenakan tarif import sebanyak 25% keatas sebarang dan semua produk Malaysia yang dieksport ke negara itu bermula 1 Ogos ini, berasingan daripada semua tarif sektor.
Langkah itu dibuat bagi melindungi industri tempatan AS yang dianggap merupakan satu amalan perdagangan yang tidak seimbang oleh beberapa buah negara.
Artikel lain: Trump kenakan tarif 25%, Malaysia tetap komited jaga hubungan dagang – Tengku Zafrul
Untuk rekod, tarif itu merupakan satu angka yang lebih tinggi berbanding tarif yang diumumkan pada April namun tiada tarif akan dikenakan sekiranya Malaysia atau syarikat Malaysia memutuskan untuk membangunkan atau mengilangkan produk di negara tersebut.
Sumber: Berita Harian (Mahanaum Abdul Aziz dan Hazwan Faizal)