am@hmetro.com.my
PELAKON jelita, Datin Intan Najuwa, 27, ada merancang membuat ‘comeback’ dalam bidang lakonan tidak lama lagi.
Namun, hatinya masih lagi berbelah bahagi untuk meninggalkan anaknya, Imane Lunara yang masih kecil dengan pengasuh di rumah.
“Sudah pasti, saya sangat rindu nak kembali berlakon. Malah, saya juga kerap tengok semula drama lakonan saya dulu seperti Jesnita dan Kekasih Paksa Rela.
“Tengoklah hujung tahun nanti, mungkin saya sudah bersedia untuk kembali berlakon,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan bersama Yayasan Nurjiwa anjuran syarikat Inayah Beauty yang berlangsung di sini, baru-baru ini.
Menurut Intan, dia juga ada mendapat tawaran berlakon daripada kenalan yang pernah bekerjasama sejak dua bulan lalu.
“Kalau nak kembali berlakon, saya nak tengok skrip dulu dari segi jalan ceritanya. Kalau okay, baru saya terima.
“Setakat ini banyak drama episod yang terlalu panjang seperti 40 hingga 60 episod. Saya belum bersedia untuk berlakon drama bersiri yang panjang tapi kalau telemovie mungkin saya pertimbangkan.
“Maklumlah, anak saya baru berusia tujuh bulan dan mungkin saya tunggu hingga umur dia setahun, baru saya kembali berlakon,” katanya.
Intan berkata, suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman yang juga ahli perniagaan tidak menghalang minatnya untuk kembali dalam bidang lakonan.
“Suami cakap okay dan tanya bila saya nak kembali berlakon? Dia pun tak letak syarat contoh babak pegang-pegang dan sebagainya, tapi sebagai isteri sudah pasti saya tahu batasannya,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas sama ada penerbit takut untuk menawarkannya berlakon kerana melihat kehidupannya yang kini dilimpahi kemewahan, Intan berkata, dia terima tawaran berlakon sebelum berkahwin pun bukan kerana bayaran.
“Sejak dulu berlakon adalah jiwa saya. Mungkin nampak ‘klise’ tapi betul sebab saya memang suka berlakon sejak dulu.
“Tidak perlulah takut kalau nak tawarkan saya berlakon kerana saya okay dan masih sama saja. Dari segi bayaran pula, perkara itu boleh dibawa berbincang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd