
Armada kapal, kumpulan pesawat bersama askar AS akan kekal berada di kedudukan masing-masing di sekeliling Iran. Foto Agensi
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi bayangan pasukan tentera mereka akan terus ‘mengepung’ Iran kononnya untuk memastikan Teheran mematuhi perjanjian gencatan senjata rapuh yang dicapai bersama Washington.
“Armada kapal, kumpulan pesawat bersama askar kami akan kekal berada sekitar Iran sehingga perjanjian sebenar dituruti sepenuhnya. Kami akan melancarkan serangan semula yang lebih dahsyat jika Teheran melakukan sebarang pelanggaran,” katanya menerusi platform Truth Social pada Rabu.
Terdahulu, Iran menegaskan adalah ‘tidak munasabah’ untuk meneruskan rundingan bagi memeterai perjanjian damai secara kekal dengan AS selepas sekutu kuatnya, Israel melancarkan serangan berskala besar ke atas Lubnan hingga mengorbankan ratusan orang pada hari sama Teheran-Washington sepakat untuk menghentikan sementara konflik berkenaan.
Kedua-dua belah pihak bertelagah itu saling memberikan kenyataan bercanggah terutamanya tentang program nuklear Iran.
Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf berkata, tiga klausa utama daripada pelan 10 perkara telah dilanggar sebelum rundingan dijadualkan berlangsung di Pakistan pada Jumaat.
“Ia termasuk pelanggaran gencatan senjata di Lubnan, kemunculan dron penceroboh di ruang udara Iran dan penafian hak Teheran untuk projek pengayaan uranium,” tegasnya di platform X.
Menurutnya, Iran sudah lama hilang kepercayaan terhadap AS kerana Washington berulang kali mencabuli segala bentuk komitmen bersama Teheran. – Agensi



