Tentera dan polis ‘kepung’ sekolah Henry Gurney

Melaka: Sebanyak 136 anggota dan pegawai polis, tentera serta kakitangan Sekolah Henry Gurney Telok Mas di sini, terbabit dalam penugasan memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di pusat itu yang berkuat kuasa tengah malam tadi hingga 19 Mac depan.

Pegawai Turus Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Deputi Superintendan Nik Ab Halim Nikmat berkata, penugasan berkenaan membabitkan sekatan jalan raya (SJR) khas memasuki sekolah dan rondaan di sekitar kawasan PKPD itu oleh unit peronda kereta (MPV).

Beliau berkata, bagi SJR khas, 24 anggota polis dan tentera terbabit dalam empat sesi syif kawalan bagi tempoh 24 jam setiap hari untuk mengawal pergerakan keluar masuk ke sekolah.

“Unit MPV pula membabitkan empat anggota bagi satu syif rondaan manakala kakitangan penjara atau sekolah terbabit memantau pergerakan kira-kira 1,000 pelatih dan 83 kakitangan penjara yang berada di sekolah itu,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu Nik Ab Halim berkata, lima SJR dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) 2.0 di Melaka, membabitkan kira-kira 140 anggota polis, tentera dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bermula semalam.

Beliau berkata, SJR itu dilaksanakan di kawasan sempadan negeri iaitu di Tol Ayer Keroh, Tol Simpang Ampat, Tol Lipat Kajang, Jalan Kuala Linggi dan Sungai Rambai bagi mengelakkan sebarang cubaan merentas negeri.

“Pada masa yang sama, polis Melaka juga turut dibantu 23 pegawai dari Kementerian Dalam Negeri untuk memantau pematuhan SOP covid-19 di kawasan tumpuan awam seperti pusat beli-belah, restoran, kedai makan dan pasar,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Scroll to Top