Tentera elit berlatih ala 'catwalk' cetus kecaman

Tentera elit berlatih ala 'catwalk' cetus kecaman

Seoul: Anggota pasukan khas elit Tentera Darat Korea Selatan mencetuskan kecaman orang ramai selepas dilaporkan menjalani latihan ‘catwalk’ seperti model fesyen di atas pentas peragaan, lapor The Korea Herald.

Acara dikenali sebagai Festival Ketenteraan Persembahan K-Walking itu dianjurkan Briged Pasukan Khas Payung Terjun Pertama Tentera Darat Republik Korea di sebuah gimnasium dalam kem tentera berkenaan, kira-kira seminggu lalu.

Rakaman video menunjukkan model wanita berpakaian seragam celoreng dan kasut tumit tinggi memperagakan teknik berjalan di pentas peragaan kepada anggota tentera.

Mereka berjalan dengan sebelah kaki disilangkan di hadapan kaki yang lain, memusingkan badan ketika membuat pusingan serta menggayakan beberapa gaya dengan tangan dibengkokkan.

Barisan anggota tentera lelaki kemudian meniru pergerakan itu sebelum bergilir-gilir melangkah ke hadapan untuk menggayakan gaya masing-masing.

Bagaimanapun, rakaman berkenaan kemudian mencetuskan kritikan sehingga menimbulkan kebimbangan mengenai disiplin ketenteraan.

Seorang pengguna platform X mempersoalkan, tujuan latihan itu memandangkan unit berkenaan bertanggungjawab menjalankan operasi khas.

Sementara itu, tentera darat menjelaskan, acara itu adalah sebahagian daripada program kebudayaan bagi membantu anggota tentera memperbaiki postur badan.

“Acara itu adalah program interaktif yang diadakan sebagai sebahagian daripada latihan pembentukan sahsiah yang dijalankan dua kali setahun.

“Bagaimanapun, kandungan program itu tidak sesuai dengan sifat unit berkenaan atau keperluan anggotanya, selain kami gagal meneliti program itu dengan sewajarnya terlebih dahulu,” katanya.

Susulan itu, pihaknya turut berjanji akan mendapatkan maklum balas anggota pada peringkat perancangan dan menilai dengan teliti kesesuaian program latihan pada masa hadapan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top