Tentera IDF lunyai dalam gelanggang MMA

Tentera IDF lunyai dalam gelanggang MMA
McCorry meluahkan amarahnya berhubung kekejaman Israel kepada penduduk Gaza semasa membelasah Farage di acara utama Cage Warriors 189 yang berlangsung di Rom pada Sabtu lalu. FOTO: Agensi

McCorry meluahkan amarahnya berhubung kekejaman Israel kepada penduduk Gaza semasa membelasah Farage di acara utama Cage Warriors 189 yang berlangsung di Rom pada Sabtu lalu. FOTO: Agensi

REKOD tanpa kalah petarung seni bela diri campuran (MMA) dari Israel, Shuki Farage lebur dalam suasana penuh simbolik apabila tewas kepada lawannya dari Ireland, Paddy McCorry dalam acara utama Cage Warriors 189 yang berlangsung di Rom, Itali pada Sabtu lalu.

Kekalahan itu bukan sekadar keputusan biasa, malah menjadi tumpuan dunia susulan latar belakang Farage sebagai anggota aktif Angkatan Tentera Israel (IDF) yang dikaitkan dengan operasi ketenteraan kontroversi di Gaza termasuk dakwaan terlibat dalam tindakan kekejaman terhadap penduduk awam Palestin.

McCorry, 27, yang membawa rekod profesional 6-1 serta pernah menyertai rancangan The Ultimate Fighter, menunjukkan dominasi sepanjang pertarungan sebelum diumumkan menang menerusi keputusan sebulat suara juri.

McCorry (kiri) menjulang bendera Palestin selepas mengalahkan Farage. Foto: Agensi

McCorry (kiri) menjulang bendera Palestin selepas mengalahkan Farage. Foto: Agensi

Selepas pertarungan, McCorry melaungkan ‘Free Palestine’ dengan penuh emosi, sebelum mengangkat tinggi bendera Palestin sekali gus mencetuskan sorakan dan reaksi meluas di media sosial.

Video pertarungan yang disiarkan menerusi servis penstriman UFC Fight Pass tular, termasuk klip yang dimuat naik sendiri oleh McCorry di media sosial dengan kapsyen ringkas namun tegas: ‘Street Justice’.

Farage yang sebelum ini sering menonjolkan imej ketenteraan di media sosial, segera menyahaktifkan akaun Instagram dan Facebook susulan kekalahannya.

Namun tangkap layar memaparkan dirinya dalam seragam IDF dan memegang senjata di kawasan runtuhan Gaza terus tersebar luas dan menjadi bahan kritikan netizen seluruh dunia.

Gim Michaelson Brothers MMA di Ramla, Israel iaitu tempat Farage berlatih turut menerima kecaman selepas didedahkan sebagai pusat latihan beberapa bekas tentera IDF.

Farage terlibat dalam misi ketenteraan yang menyasarkan orang awam di Gaza. Foto: Agensi

Farage terlibat dalam misi ketenteraan yang menyasarkan orang awam di Gaza. Foto: Agensi

Pengasasnya, Daniel Michaelson, turut dikecam hebat selepas memuat naik kenyataan berbaur kebencian terhadap rakyat Palestin, termasuk satu hantaran berbunyi: “Tiada siapa yang tidak bersalah di sana (Gaza)… Hapuskan semuanya.”

Bagi sesetengah pihak, kekalahan Farage dianggap sebagai detik simbolik yang mencerminkan penolakan masyarakat antarabangsa terhadap keganasan berterusan di Gaza.

Meskipun berlaku dalam arena sukan, kemenangan McCorry dilihat sebagai bentuk solidariti lantang buat rakyat Palestin yang masih berdepan penindasan rejim Zionis.

Scroll to Top