Gaza: Kementerian Kesihatan yang dikendalikan oleh Hamas berkata, tentera Israel sedang mengebom hospital terakhir yang separuh berfungsi di utara Gaza, kawasan yang mengalami operasi ketenteraan sengit selama sebulan lalu.
“Pada masa ini, tentera pendudukan terus mengebom dan memusnahkan Hospital Kamal Adwan dengan ganas, menyasarkan semua bahagian hospital itu,” kata kementerian mengenai kemudahan di bandar utara Beit Lahia.
Pengarah hospital, Hossam Abu Safieh dalam satu kenyataan berkata, situasi itu adalah ‘malapetaka’ dan ‘tentera tidak menghubungi hospital sebelum menyasarkannya secara langsung’.
“Beberapa kakitangan kami cedera dan kami tidak dapat meninggalkan hospital,” katanya.
Ketika dihubungi, tentera Israel berkata, pihaknya menyemak laporan itu.
Bagaimanapun dalam kenyataan berasingan pada Isnin, ia menyatakan tentera ‘terus beroperasi terhadap infrastruktur pejuang dan pengendali di utara dan tengah Gaza’.
Akhir bulan lalu, tentera Israel menyerbu Hospital Kamal Adwan yang mengakibatkan kematian dua kanak-kanak, kata Kementerian Kesihatan Gaza pada masa itu.
Ia menyatakan tentera Israel menahan ratusan pesakit, kakitangan perubatan dan beberapa individu yang dipindahkan dari kawasan jiran semasa operasi itu.
Tentera Israel sedang terbabit dalam operasi ketenteraan yang sengit di utara wilayah Palestin, di mana mereka mendakwa Hamas menyusun semula anggotanya.
Kempen ini bermula pada 6 Oktober apabila tentera mengumumkan mereka mengepung bandar Jabalia di utara Gaza, dan kem pelarian yang bersebelahan.
Ketua agensi pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal pada Isnin berkata, lebih daripada 1,300 orang terbunuh setakat ini dalam operasi Israel.
“Terdapat sekatan yang teruk terhadap ubat, air dan makanan di utara wilayah itu. Pasukan perubatan, pasukan pertahanan awam dan hospital di kawasan utara, tidak berfungsi selama 13 hari berturut-turut,” katanya kepada AFP.
© New Straits Times Press (M) Bhd




