Baitulmaqdis: Tentera Israel melancarkan operasi baharu terhadap kumpulan bersenjata Palestin di Tebing Barat.
Operasi itu bermula pada waktu malam di kawasan Tubas, yang sebahagian besarnya adalah kawasan pertanian dan daerah paling utara di timur daripada 11 kawasan pentadbiran di Tebing Barat.
Tentera Israel, polis dan perkhidmatan keselamatan dalaman menyatakan dalam satu kenyataan bersama bahawa mereka memulakan “operasi menentang keganasan secara meluas” selepas menerima maklumat risikan mengenai “cubaan untuk menubuhkan kubu kuat pengganas.”
Gabenor Wilayah Tubas, Ahmed al-Asaad berkata, ini kali pertama seluruh daerah disertakan (dalam operasi berkenaan) dan kini seluruh daerah berada di bawah operasi tentera Israel.”
Ahmed menjelaskan bahawa pasukan Israel menyerbu bandar Tammun dan Tayasir serta kem pelarian Palestin, Al-Faraa.
Operasi bermula dengan serangan udara untuk mengasingkan kawasan itu diikuti dengan “pencarian” di darat, di mana suspek disoal siasat.
Ahmed turut mendedahkan bahawa tentera menutup pintu masuk bandar dengan timbunan tanah bagi menghalang sebarang pergerakan.
Beliau juga memberitahu AFP bahawa helikopter Apache terbabit dalam operasi itu dan melepaskan tembakan ke arah kawasan kediaman.
“Ini adalah operasi politik, bukan operasi keselamatan,” katanya.
Dalam pada itu, tentera Israel dilaporkan menembak dan membunuh seorang “pengganas” yang melemparkan bahan letupan ke arah pasukan tentera di kawasan Qabatiya, daerah Jenin, berhampiran Tubas.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin memaklumkan bahawa pasukannya di daerah itu merawat 10 orang yang cedera, dengan empat daripadanya terpaksa dipindahkan ke hospital.
Agensi kemanusiaan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) pada petang Rabu memaklumkan perintah berkurung dikenakan di kawasan itu, dan sekurang-kurangnya 24 keluarga terpaksa berpindah apabila tentera Israel mengambil alih rumah mereka.
Keganasan di Tebing Barat meningkat sejak serangan Hamas pada Oktober 2023 ke atas Israel yang mencetuskan perang Gaza dan tidak berhenti, walaupun gencatan senjata rapuh antara Israel dan Hamas berkuat kuasa bulan lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd



