Tentera tangkap 10 warga Myanmar cuba masuk tidak sah

Tentera tangkap 10 warga Myanmar cuba masuk tidak sah

am@hmetro.com.my

Jeli: Cubaan 10 warga Myanmar menyeberangi Sungai Golok dan memasuki sempadan negara dari arah Thailand secara tidak sah, gagal apabila dikesan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), hari ini.

Kesemua pendatang asing tanpa izin (Pati) iaitu empat lelaki dan enam wanita berusia antara 19 hingga 35 tahun itu ditahan pada 8 pagi.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan berkata, Pati itu mengaku sebagai warganegara Myanmar dan sebilangan daripadanya mempunyai dokumen pengenalan diri dan pasport negara Myanmar.

Katanya, beberapa barangan peribadi seperti telefon bimbit dan wang tunai Malaysia, Myanmar dan Thailand turut dirampas.

“Selain itu, sebuah kenderaan Mitsubishi Pajero berjaya ditahan namun pemilik yang disyaki penyeludup berjaya melarikan diri menyeberangi Sungai Golok ke arah Thailand.

“Nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM21,426 dan kesemua PATI diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

2 Divisyen memaklumkan, pasukan operasi akan terus memperketatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top