TEHERAN – Tentera Yemen menyampaikan penghargaan kepada Angkatan Tentera Iran susulan serangan besar-besaran terhadap pangkalan dan kemudahan strategik tentera Israel, selain mengumumkan telah melancarkan beberapa siri serangan peluru berpandu balistik hipersonik terhadap sasaran sensitif di wilayah Palestin yang diduduki.
Jurucakap Angkatan Tentera Yemen, Brigadier Jeneral Yahya Saree, dalam satu pengumuman yang disiarkan secara langsung dari ibu negara Sanaa pada Ahad berkata, beberapa peluru berpandu hipersonik jenis Palestine-2 telah dilepaskan ke arah bandar pantai Tel Aviv dalam tempoh 24 jam lalu.
Katanya, operasi ketenteraan itu diselaraskan bersama serangan Iran dalam Operasi Janji Sebenar III dan berjaya mencapai objektif yang ditetapkan.
“Angkatan Tentera Yemen menzahirkan tabik hormat kepada Republik Islam Iran – rakyatnya, tenteranya, serta kepimpinan mereka atas keberanian dan keteguhan mereka menghadapi pencerobohan kejam rejim Zionis,” kata Yahya.

Pasukan penyelamat bekerja di celah runtuhan bangunan selepas serangan peluru berpandu Iran mengenai bandar Bat Yam, selatan Tel Aviv, awal pagi 15 Jun 2025. Foto AFP
Tambah beliau, serangan balas Iran kini memberikan tamparan hebat kepada rejim Israel dengan menyebabkan kerosakan besar terhadap infrastruktur penting, markas tentera serta ibu pejabat pertahanan rejim itu.
Beliau turut menegaskan bahawa tentera Yemen kekal berwaspada terhadap perkembangan semasa dan tetap menyatakan solidariti bersama rakyat Gaza serta para pejuang di wilayah itu sehingga serangan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel dihentikan sepenuhnya dan sekatan kejam ke atas Semenanjung Gaza ditarik balik.
Yahya turut menyeru negara-negara Arab dan umat Islam agar menyokong perjuangan suci ini, dengan menyifatkan jihad sebagai salah satu ‘pintu menuju syurga’.
Dalam perkembangan berkaitan, sumber tentera memaklumkan kepada Press TV bahawa peluru berpandu yang digunakan dalam serangan ke atas Haifa buat pertama kali adalah senjata baharu milik Angkatan Tentera Iran.
Pada Sabtu, pemimpin gerakan penentangan Ansarullah di Yemen, Abdul-Malik al-Houthi, menyelar keras tindakan agresif Israel yang menyerang beberapa lokasi penting di Iran.
Beliau menyifatkan serangan itu sebagai kejam, samseng dan tidak berperikemanusiaan kerana menyasarkan komander tentera, saintis nuklear serta orang awam Iran.
Menurut Houthi, tindakan Israel menyerang fasiliti nuklear Natanz menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab terhadap risiko pencemaran radiasi, dan menegaskan bahawa kerosakan lebih dahsyat dapat dielakkan kerana kemudahan tersebut dibina di bawah tanah.
“Sokongan Iran terhadap perjuangan Palestin menjadi sebab utama mereka diserang. Justeru, semua negara serantau perlu berdiri bersama Iran dan menyokong serangan balas itu demi kepentingan bersama,” katanya. – Agensi