Teo nafi dakwaan terbabit kegiatan kongsi gelap

Kulai: Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching hari ini menafikan dakwaan di media sosial yang mengaitkannya dengan kegiatan kongsi gelap di negeri ini serta kes kemalangan jalan raya yang kini dalam siasatan polis.

Beliau yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP berkata dakwaan berkenaan adalah palsu serta tidak berasas, malah menegaskan terdapat akaun media sosial baharu telah diwujudkan khusus untuk membuat tuduhan terhadap dirinya.

“Saya sudah berada dalam arena politik selama 18 tahun dan berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama 13 tahun. Mungkin ada ketika saya pernah bertemu seseorang sekali atau dua kali, atau mungkin ada gambar bersama atas kapasiti sosial yang biasa.

“Namun, untuk mendakwa saya terlibat dalam aktiviti tersebut adalah satu tuduhan palsu kerana mereka hanya menunjukkan gambar saya dengan seseorang, sedangkan ia hanyalah aktiviti sosial biasa. Pihak polis, termasuk Ketua Polis Johor, telah pun mengadakan sidang media dan memaklumkan bahawa 13 suspek telah ditangkap. Saya mengalu-alukan siasatan menyeluruh daripada pihak polis,” katanya di sini hari ini.

Ahli Parlimen Kulai itu berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat di Hutan Bandar Putra, di sini.

Teo yang juga Pengerusi DAP Johor berkata fitnah tersebut menunjukkan bahawa sesiapa sahaja berisiko menjadi mangsa penularan berita palsu dalam era digital.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah mempercayai maklumat diterima menerusi media sosial tanpa membuat semakan terlebih dahulu.

“Kita perlu berfikir secara rasional dan menyiasat terlebih dahulu. Saya sendiri telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta laporan polis.

“Walau bagaimanapun, cabaran utamanya ialah keputusan untuk menutup akaun atau memadam hantaran tersebut terpulang kepada pihak Meta sendiri dan tidak semua berita palsu dapat dipadamkan serta-merta,” katanya.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai Wong Bor Yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai di sini, berhubung hantaran berunsur fitnah dan tuduhan palsu mengaitkan Teo serta DAP dengan kumpulan kongsi gelap.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top