redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Syukur sangat dan berharap kandungan isteri baik sehingga anak kami dilahirkan nanti.”
Demikian kata usahawan produk kecantikan dikenali Danny, 43, yang bakal menimang cahaya mata perempuan selepas isterinya, Nur Atikah Hamidon, 27, disahkan hamil tiga bulan.
Berita gembira itu dikongsikan Danny menerusi video di TikTok ketika majlis pengumuman jantina anak mereka baru-baru ini.
Danny berkata, kehamilan itu adalah anugerah terindah buatnya dan isteri selepas hampir enam bulan mendirikan rumah tangga.
Sebagai suami, dia sangat teruja dan bersyukur dengan rezeki pemberian Allah SWT kerana sedar tidak semua yang senang dengan kebahagiaannya.
“Saya tahu dan sedar yang memang ada segelintir warganet meragui kejantanan saya sehingga tanya boleh ke saya hamilkan isteri.
“Tapi saya tak ambil pusing apa dikatakan itu kerana percaya bukan mereka yang menentukan, tapi rezeki daripada Allah SWT,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Danny, sejak awal perkahwinan, dia dan isteri tidak terlalu memikirkan soal zuriat kerana menyerahkannya kepada Allah SWT.
“Rezeki kami bila isteri hamil tak sampai setahun selepas kami berkahwin,” katanya.
“Sejujurnya saya mahukan anak lelaki tapi hasil imbasan bayi dalam kandungan adalah perempuan.
“Saya tak kisah pun, yang penting isteri dan bayi sihat. Anak saya, Qaseh, 16, pun teruja dan tak sabar nak dapat adik baru,” katanya.
Sementara itu, Atikah berkata, dia bersyukur dengan rezeki itu dan pada awalnya tidak berkongsi dengan sesiapa termasuk keluarga kerana usia kandungan masih baru.
“Pengikut di media sosial pun tak tahu, tapi setiap kali saya bersiaran langsung, ada yang tegur dan buat andaian sendiri selepas nampak bentuk perut.
“Waktu itu saya sendiri tak tahu saya hamil. Apa pun saya bersyukur dengan rezeki Allah beri.
“Cuma sudah lima tahun tak mengandung, jadi rasa macam kali pertama. Dulu okay saja, tapi kali ini alahan agak teruk sampai ada masa rasa nak terbaring dan tidur saja.
“Saya akan cuba menjaga kandungan dengan sebaik mungkin dan berdoa semoga Allah permudahkan sampai anak selamat dilahirkan,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan Danny menamatkan zaman duda dengan Atikah yang berstatus ibu tunggal kepada seorang anak perempuan pada 19 April lalu.
Perkahwinan itu adalah yang kedua buat pasangan berkenaan.
Sebelum disatukan, mereka mengikat tali pertunangan pada 25 Mac lalu dengan restu kedua belah keluarga.
© New Straits Times Press (M) Bhd




