“Bagi saya ia adalah salah satu hidangan lokal yang harus dicuba dan sangat enak,”.
Demikian luahan penyanyi popular Indonesia, Raisa mengenai hidangan kegemarannya setiap kali berkunjung ke Malaysia iaitu Nasi Kandar.
Kata Raisa, dia sama sekali tidak bersetuju apabila hidangan nasi kandar dikatakan ‘berpasir’.
Menurutnya, nasi kandar adalah hidangan lokal yang enak dan ia menjadi antara makanan kegemarannya setiap kali berkunjung ke Malaysia.
“Menurutku nasi kandar itu sangat enak dan setiap kali saya datang ke Malaysia saya mesti makan nasi kandar. Tapi, kena makan dengan tangan jangan makan pakai sudu tak afdal.
“Bagi saya nasi kandar adalah salah satu hidangan lokal yang harus dicuba dan sangat enak.
“Jadi, saya tidak setuju dengan kenyataan bahawa nasi kandar berpasir,” katanya kepada XTRA.

Raisa berkongsi mengenai hal itu ketika ditemui usai majlis pelancaran konsertnya ‘Raisa Teristimewa Di Kuala Lumpur’ yang berlangsung di Silverfox, Kuala Lumpur pada Rabu.
Sebelum ini, kenyataan dari juara Masterchef Indonesia Ke-5, Stefani Harison yang mendakwa nasi kandar di Malaysia berpasir menuai pelbagai respons dalam kalangan masyarakat.
Bahkan, ada yang mendakwa kenyataan tersebut menjejaskan imej dan makanan lokal di Malaysia.



