Ter Stegen kembali sandang kapten Barca lepas 'drama' laporan perubatan

Ter Stegen kembali sandang kapten Barca lepas 'drama' laporan perubatan

Milan: Barcelona mengumumkan penjaga gol Jerman, Marc-Andre ter Stegen kembali memegang lilitan kapten pasukan utama selepas kelab itu menutup kes disiplin berkaitan laporan perubatannya kepada LaLiga.

Sebelum ini, Ter Stegen, 33, dituduh menjadi punca Barcelona gagal mendaftarkan pemain baharu musim ini apabila enggan menandatangani cuti sakit jangka panjang yang membolehkan kelab menjimatkan sehingga 80 peratus gajinya iaitu dianggarkan lebih RM96 juta setahun sehingga pertengahan musim.

Situasi menjadi tegang selepas Ter Stegen mendedahkan di media sosial bahawa dia hanya akan berehat selama tiga bulan selepas menjalani pembedahan belakang, sedangkan peraturan LaLiga menetapkan pemain perlu berehat minimum empat bulan untuk dikategorikan sebagai kecederaan jangka panjang.

Kenyataan itu menyebabkan pengurusan Barcelona bertindak melucutkan jawatan kaptennya pada Khamis lalu, namun perkembangan terbaharu menyaksikan pemain itu menandatangani kebenaran rasmi untuk kelab menyerahkan laporan perubatan kepada LaLiga.

“Kes disiplin ini ditutup dan pemain kini kembali menjadi kapten pasukan utama serta-merta,” kata kenyataan rasmi Barcelona.

Ter Stegen menegaskan, keputusan untuk menjalani pembedahan dibuat selepas berbincang dengan pakar perubatan dan diluluskan kelab, malah tempoh pemulihan tiga bulan diumumkan berdasarkan nasihat pakar yang dirujuk kelab.

Barcelona kini masih menunggu keputusan Jawatankuasa Perubatan LaLiga sama ada tempoh pemulihan Ter Stegen membolehkan kelab menggunakan sebahagian gajinya untuk mendaftarkan pemain baharu seperti penjaga gol Joan Garcia yang dibeli dari Espanyol dan Marcus Rashford yang dipinjam dari Manchester United.

Musim baharu LaLiga akan bermula 15 Ogos ini, namun kontroversi ini sekali lagi menonjolkan masalah kewangan Barcelona yang masih dibelenggu isu pendaftaran pemain, sama seperti musim lalu ketika mereka gagal mendaftarkan Dani Olmo dan Pau Victor kerana kekangan bajet gaji.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top