Teraju baru belum dipilih, RM1.5j masuk akaun KLFA

Teraju baru belum dipilih, RM1.5j masuk akaun KLFA

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Sepatutnya duit yang masuk babitkan jutaan ringgit ke akaun KLFA (Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur) mahupun KL City perlu melalui mesyuarat Exco KLFA sebagai pemegang saham terbesar kelab.

“Mana boleh duit masuk ketika kepimpinan baharu belum lagi dibentuk…dan beliau mahu gunakan duit itu untuk bayar tunggakan gaji sebagai modal memancing undi.”

Itu antara persoalan yang timbul dalam kalangan majoriti kelab gabungan KLFA selepas mantan persatuan itu, Khalid Samad mendedahkan sebuah entiti dilaporkan berminat menjadi pemegang saham majoriti KL City, ketika kongres pemilihan hanya akan berlangsung esok.

Menerusi satu kenyataan media dikeluarkan oleh Khalid, entiti berkenaan sudah menyalurkan bayaran pendahuluan RM1.5 juta kepada KLFA sekali gus bakal menjadi pemegang saham kelab sebanyak 51%.

Menurut salah seorang kelab gabungan KLFA, dia terkejut dengan kenyataan media itu kerana ia nyata menyalahi peraturan di mana ketika ini, kesemua jawatan dalam KLFA tidak berfungsi sehinggalah jawatankuasa baharu dibentuk.

“Kenapa esok nak kongres, hari ini tiba-tiba ada entiti nak masuk beli saham kelab (KL City) sedangkan isu tunggakan gaji ini sudah lama. Apa agenda yang cuba dimainkan.

“Keduanya, bagaimana duit jutaan ringgit boleh masuk ke akaun KLFA atau KL City sebab belum terbentuknya lagi Exco baharu KLFA.

“Perkara ini (dana RM1.5 juta) perlu melalui mesyuarat Exco dan diluluskan dalam KLFA terlebih dulu, selepas dipersetujui barulah boleh dilakukan sebarang transaksi.

“KLFA adalah pemegang saham terbesar KL City. Jadi Exco perlu dimaklumkan, tapi isunya sekarang mana ada Exco sebab pemilihan baharu hanya akan dibuat esok,” kata sumber itu.

Terdahulu, Khalid Samad menjelaskan entiti berkenaan berminat memiliki saham kelab selepas mendengar wawasan KLFA yang dibentangkan calon Presiden KLFA, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan pasukannya di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

“Hasil hubungan perniagaan baik dengan berbagai pihak dan keyakinan peniaga terhadap kumpulan yang dipimpin Datuk Abdullah Sani, saya dimaklumkan ada pihak telah membayar RM 1.5 juta sebagai pendahuluan untuk membeli 51% saham syarikat pemilik KL City FC.

“Bayaran ini baharu sahaja diterima oleh KLFA beberapa jam sebelum ini. Ini berlaku setelah mereka mendengar wawasan kepimpinan Datuk Abdullah Sani dan pasukannya pada satu majlis makan malam di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

“Munculnya sahaja Datuk Abdullah Sani sebagai Presiden, beberapa pelabur dan penaja akan turut bersama,” kata Khalid Samad.

Untuk rekod, esok bakal berlangsungnya Kongres KLFA kali ke-35 bagi memilih barisan kepimpinan baharu badan induk bola sepak Kuala Lumpur itu.

Abdullah Sani bakal dicabar oleh Naib Presiden KLFA penggal lalu, Syed Yazid Syed Omar yang dianggap pilihan utama 27 kelab gabungan persatuan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top