Terapi melukis depani penyakit

Terapi melukis depani penyakit

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Lapan tahun lalu, Zaharin Mohammad menerima khabar duka selepas disahkan menghidap penyakit buah pinggang yang mengubah rutinnya kerana perlu menjalani dialisis.

Meskipun begitu, Zaharin, 53, terus bekerja dengan meneruskan tanggungjawabnya sebagai pengurus di sebuah cawangan jualan kenderaan di Temerloh, Pahang.

Pada tahun 2020, Zaharin memohon untuk meletak jawatan walaupun berat untuk melakukannya. Namun, dia terpaksa bagi membolehkannya menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu tanpa mengganggu tugas hakiki.

Sejak itu, Zaharin menjadi pelukis sepenuh masa hingga kini walaupun masih bertarung dengan penyakitnya.

Sejak bergelar pelukis, Zaharin pernah mengikuti beberapa siri pameran bermula dengan ‘7ujuh’ dan ‘7ujuh Charity Show’ pada 2016, ‘Ambiguity’ (2017), ‘Mindscape’ (2018), ‘Synonym’ (2022) dan ‘Expre88ion’ juga ‘Arcatan’ pada tahun lalu.

Dia yang kini menetap di Temerloh sudah menghasilkan lebih 500 lukisan dan kebanyakannya terjual dan menjadi koleksi syarikat korporat, swasta dan individu.

“Melukis sememangnya satu terapi bagi saya. Apabila melukis, saya akan melupakan segala masalah dan kesakitan buat sementara.

“Saya akan habiskan masa seharian untuk melukis ketika hari saya tidak menjalani dialisis.

“Minat melukis ada dalam diri saya sejak berumur tujuh tahun malah itu yang mendorong saya menyertai pertandingan melukis ketika di sekolah,” katanya.

Pada 1987, Zaharin mula berkarya secara sambilan di majalah Gila-Gila, Batu Api dan Gelihati.

Bakatnya pernah diiktiraf selepas memenangi pertandingan karikatur peringkat negeri Melaka dan ditawarkan menjadi kartunis tetap oleh kartunis yang juga Raja Kartun Malaysia, Allahyarham Rejabhad di majalah Gila-Gila pada 1990.

“Namun, ketika itu, saya baru melanjutkan pengajian di Institut Teknologi Mara (ITM) Shah Alam, Selangor dalam jurusan Senilukis dan Senireka.

“Selepas masuk ke alam pekerjaan, saya melupakan bidang seni lukis buat sementara namun kembali melukis pada 2013 ketika bertugas di Taiping, Perak atas galakan rakan, antaranya Ameruddin Ahmad (kini Ketua Pengarah Balai Seni Negara) dan Dr Rosli Zakaria (pengarca terkemuka).

“Sejak itu, saya mula berkarya semula secara sambilan dan menyertai beberapa pameran seni di dalam dan luar negara sehingga rakan pelukis, Abdullah Jones dan Dr Rosli, menggelar saya ‘pengurus jualan yang melukis’,” katanya.

Selain rakan, Zaharin mengakui, keluarga terutama isteri, adalah tulang belakang dan kekuatannya dalam meneruskan hidup serta terus berkarya menerusi lukisan.

Katanya, adik beradik dan keluarga juga banyak menyokong kerjayanya baik dalam bidang jualan kereta mahu pun lukisan.

“Saya reda dengan penyakit dihidapi kerana yang penting, keluarga sentiasa ada di sisi. Abang ipar saya, Prof Datuk Dr Ismail Sagap, berusia 59 tahun, (Pengarah Hospital Kanak-kanak HUKM) dan ibu saudara, Datin Dr Siti Esa Rahim, berumur 68 tahun, adalah dua individu yang paling banyak membantu dengan membeli karya saya.

“Mereka berdua adalah pengumpul terbesar karya lukisan saya. Jika diikutkan, karya saya mula terjual sejak masih menuntut di ITM.

“Ketika itu, saya kerap menyertai pameran terbuka di Galeri Shah Alam, Galeri Bank Negara dan Galeri Petronas,” katanya.

Menurut Zaharin, karya lukisan seorang pelukis akan berkembang mengikut masa kerana pelukis sentiasa belajar dalam proses melukis.

Begitu juga dengannya yang sentiasa cuba mencari identiti dalam berkarya dan gemar hasilkan karya lukisan dengan menggunakan media campuran.

“Saya mula menggunakan simen khas untuk seni karya saya sejak 2013 dan ia menjadi resepi wajib bagi saya dalam berkarya.

“Cuma sebagai pelukis, kita akan sentiasa tidak puas hati dengan setiap karya yang dihasilkan, seolah-olah karya lukisan itu memanggil-manggil untuk diperindahkan lagi dengan palitan warna baru.

“Semakin kita melukis, semakin kita perlu perbaharui atau pertingkatkan usaha dalam berkarya,” katanya.

Hingga kini, cinta Zaharin dalam seni lukisan belum pudar malah bakal mengadakan pameran berkumpulan bersama semua pelukis yang pernah mengambil bahagian dalam acara itu pada 2016.

“Ia adalah pameran mengenang 10 tahun (2016 hingga 2026) kami bersama sejak daripada pameran 7ujuh (2016) hingga pameran Arcatan (2025).

“Hala tuju saya untuk masa depan, saya mahu merakyatkan karya seni saya supaya semua peringkat masyarakat boleh menikmati dan memiliki karya ini.

“Melihat karya saya tergantung di ruang pejabat dan kediaman mereka cukup memberi kepuasan kepada saya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top