am@hmetro.com.my
Seremban: Kehidupan Muhammad Azizi Abdul Manab, 35, berubah 100 peratus selepas kehilangan kaki akibat kemalangan jalan raya pada 2011 di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, sehari selepas melangsungkan pertunangan.
Malah, selepas kejadian itu, Muhammad Azizi turut memaklumkan kepada tunangnya untuk mencari pengganti.
Bagaimanapun, wanita berkenaan enggan menuruti katanya itu dan setahun kemudian, mereka melangsungkan perkahwinan.
Anak kelahiran ibu kota itu berkata, akhirnya, selepas enam bulan tertekan, timbul kesedaran dalam dirinya untuk bangkit dan mencari pekerjaan berkat sokongan keluarga dan rakan.
“Saya kemudiannya bekerja di sebuah stesen minyak sebagai juruwang sebelum mendapat kaki palsu daripada pampasan insurans,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran Kempen Bantuan Kaki Palsu ‘Feet4Life’ Peringkat Negeri Sembilan, di sini, kelmarin.
Menurutnya, dia bersyukur kerana perolehan kaki palsu itu membantu untuk berdikari.
Dia yang kini bekerja sebagai pemandu e-hailing berkata, kaki palsu kedua diterimanya daripada kempen ‘Feet4Live’ lebih baik kerana ia boleh dilaras ke tiga saiz berbeza.
“Bagi individu seperti saya, bantuan kaki palsu memberi harapan merasai nikmat ‘berdiri’ sekali gus dapat membantu kami mencari rezeki,” katanya.
Feet4Life adalah projek kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dianjurkan Yayasan UNITI dengan kerjasama UNITI Waqi Sdn Bhd dan syarikat pembuatan kaki palsu Bumiputera, Kedidi Global Sdn Bhd.
© New Straits Times Press (M) Bhd