syafil.syazwan@hmetro.com.my
Nama Tracie Sinidol bukanlah asing lagi memandangkan wajahnya sudah mengisi banyak karya drama dan filem.
Terbaru, drama lakonannya, Hilang Dalam Rindu baru saja melabuhkan tirai dan Tracie berkongsi rasa teruja dapat menyertai peminat setia drama itu meraikan episod terakhir, baru-baru ini.
“Ini kali pertama saya bergabung dengan peminat drama ini. Sebelum ini saya pernah menonton episod akhir drama seperti Gadis Semasa dan filem Blood Brothers : Bara Naga.
“Melihat reaksi peminat secara langsung sangat mengujakan kerana biasanya kita hanya membaca komen di TikTok, tetapi kali ini dapat melihat sendiri reaksi mereka,” katanya.
Menurutnya, impak drama arahan, Along Kamaludin itu jauh melepasi jangkaannya.
“Semua maklum balas sangat positif sejak episod pertama hingga akhir. Malah, penonton bukan saja dari Malaysia tetapi juga Indonesia, Filipina dan Thailand turut memberikan sokongan.
“Sebenarnya kami tidak sangka projek ini akan pergi sejauh itu, jadi saya sangat gembira dengan sambutan yang diterima,” katanya.
Lebih manis, populariti drama itu turut membuatkan peminat terbawa-bawa dengan wataknya sebagai Aira Nadira.
“Kadang-kadang bila saya keluar, ada yang memanggil saya dengan nama watak. Nama itu sudah melekat sehingga orang yang menyapa saya pun panggil nama itu. Saya anggap itu sebagai penghargaan kerana lakonan saya berjaya meninggalkan kesan,” katanya.
Tidak hanya aktif di layar kaca, Tracie turut memberi ruang untuk peminat mendekatinya melalui kumpulan Telegram.
“Sebenarnya kumpulan itu sudah lama ada, cuma dulu hanya beberapa ratus orang, tetapi kini sudah hampir 2,000 ahli.
“Saya gunakan platform itu untuk berkongsi perkembangan penggambaran, mengingatkan mereka menonton episod tertentu dan berinteraksi secara lebih dekat. Hubungan dengan peminat terasa seperti kawan sendiri,” katanya.
Berkongsi mengenai pemilihan watak, Tracie mengakui kini lebih berhati-hati agar tidak dilihat berulang.
“Saya tidak cerewet, cuma saya cuba elakkan daripada membawa watak sama berulang kali.
“Kalau sebelum ini sudah ada watak dengan pengakhiran sedih, peminat pula meminta saya cuba watak yang lebih gembira. Jadi saya mahu tampilkan sesuatu yang baru untuk mereka,” katanya.
Tracie juga tidak berhenti menambah ilmu. Dia pernah menimba pengalaman bersama pelakon dan tenaga pengajar berpengaruh seperti Fatimah Abu Bakar serta Along Kamaludin.
“Abang Along bukan saja pelakon tetapi juga pengarah, jadi banyak pandangan berharga yang saya pelajari daripadanya,” katanya.
Ditanya mengenai cabaran bergandingan dengan Jazmy Juma, Tracie mengakui ada salah faham kecil di awal perkenalan.
“Awal-awal memang ada kekeliruan kerana kami faham perkara berbeza. Tapi selepas dua bulan bersama di set, kami semakin rapat dan keserasian terbina secara semula jadi.
“Malah, bukan dengan Jazmy saja, tetapi dengan seluruh barisan pelakon, pengarah, penulis skrip dan kru. Semua itu penting untuk menjayakan sesebuah drama,” katanya.
Sebagai pelakon, Tracie juga terbuka dengan transformasi fizikal demi watak.
“Jika diperlukan untuk memotong rambut pendek atau naikkan berat badan, saya tidak keberatan. Sebagai pelakon, kita perlu menyesuaikan diri dengan keperluan watak.
“Kalau watak aksi perlukan tubuh lebih fit, saya akan berusaha untuk capai bentuk badan sesuai,” katanya.
Walaupun berasal dari Sabah, dialek pertuturannya kini kedengaran semakin ‘KL’.
Tracie menjelaskan, hal itu berlaku secara semula jadi kerana banyak masa dihabiskan bersama kru yang menggunakan bahasa standard.
“Tapi bila balik Sabah, saya terus boleh tukar semula. Saya juga banyak belajar melalui drama-drama Melayu dan kawan-kawan,” katanya.Kini, Tracie sedang sibuk dengan penggambaran filem bersama pelakon popular, Syafiq Kyle.
“Ya, kami masih dalam proses penggambaran. Ada juga babak saya dan Syafiq menunggang motosikal RXZ, memang menarik. Sama-sama nantikan tayangannya tahun depan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




