Terbang ke Australia, selepas itu arahkan filem Melayu juga – Hasnul Rahmat

Terbang ke Australia, selepas itu arahkan filem Melayu juga – Hasnul Rahmat

“KALAU tidak berlakon, mungkin sekarang saya sudah jadi pemain bola sepak.”

Demikian kata pelakon, Hasnul Rahmat apabila diajak berkongsi cerita mengenai perjalanan hampir empat dekad dalam dunia perfileman tanah air.

Pembabitan awal beliau dalam bidang kesenian bertitik tolak sewaktu kemasukannya ke sekolah seni lukis La Salle, Singapura.

Di sekolah itu, beliau menemukan minat baharu terhadap dunia pementasan, dibawah bimbingan Datuk Khairul Anwar Salleh. Di situ, beliau sempat melakonkan beberapa pementasan teater antaranya Kali Ini Jam Dua Belas Datang Lewat Dari waktunya, sebuah karya Rafaat Hamzah.

Selepas menamatkan pengajian di sekolah itu, Hasnul diberi pilihan, antara terbang ke sekolah filem di Australia atau menyambung pengajian di Akademi Seni Kebangsaan (ASWARA) yang dahulunya dikenali sebagai Akademi Filem Malaysia.

“Saya fikir, kalau pergi Australia, pulang ke tanah air, saya berlakon cerita Melayu juga. Jadi, saya buat keputusan untuk belajar di Malaysia sahaja, sambung pelajaran di ASWARA selama tiga tahun.

“Sebenarnya, kalau tidak menyambung pengajian dalam bidang perfileman, saya mungkin berkecimpung dalam bidang sukan, khususnya dalam sukan bola sepak.

“Tetapi, cita-cita itu ditegah ibu bapa saya kerana pada mereka, menjadi atlet bola sepak ini tidak menjanjikan masa depan cerah,” ujarnya.

Beliau berjinak dalam dunia pengarahan menerusi filem pendek berjudul The Angry Young Pig (1993). Percubaan pertamanya sebagai pengarah berhasil apabila memenangi Anugerah Silver Award dalam 2nd Malaysian Video Award.

“Sejak kemenangan itu, saya terus mengarahkan banyak filem pendek antaranya adalah Separuh Bumi (1997), Dead Moments (1997), Little Boy in the Sky (1998), Found Object (1998), Bukan di syurga yang ini (1999) dan banyak lagi,” kongsinya.

Dari pengarah filem pendek, beliau terjun ke dunia lakonan arus perdana menerusi pertamanya KL Menjerit (2002) diarahkan oleh Bade Hj. Azmi.

Persembahan memberangsangkan dalam filem itu melayakkan beliau menjadi penerima anugerah Pelakon Harapan Lelaki pada FFM16.

Beliau sekali lagi dicalonkan bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik untuk filem Paloh arahan Adman Salleh pada tahun 2003, namun gagal pulang dengan sebarang kemenangan.

Hasnul menjadi buruan pengarah menjadi selepas membuktikan kredibiliti di bawah bimbingan Bade.

Antara filem lakonannya selepas itu adalah Berlari Ke Langit, Gangster, Maut, Buai Laju-Laju dan Hanyut arahan U-Wei Haji Saari, Lang Buana dan banyak lagi.

“Selepas lama berjuang, akhirnya saya berjaya menggondol Pelakon Lelaki Terbaik Filem di Anugerah Skrin-16 untuk filem sekuel pertama Rock arahan Allahyarham Mamat Khalid.

“Saya bertuah kerana berpeluang bekerjasama dengan pengarah hebat seperti Dain Said untuk filem Dukun, Suhaimi Baba (Tanda Putera), Fendi (Songlap) dan ramai lagi,” ceritanya.

Terbang ke Australia, selepas itu arahkan filem Melayu juga – Hasnul Rahmat

IDOLA DAN INSPIRASI

HASNUL cukup memandang tinggi pelakon-pelakon lama kerana baginya, perjuangan mereka telah membuka pintu kepada perkembangan industri perfileman tempatan hari ini.
Beliau memetik nama Allahyarham Mustaffa Noor sebagai pejuang teater dan aktor yang mempengaruhi penglibatannya dalam dunia lakonan.

Pesona Allahyarham, menerusi filem Mawar Merah yang diterbitkan Datuk Rosnani Jamil, banyak mempengaruhi bentuk lakonannya.

Hasnul juga menyebut nama seniman terulung, Allahyarham Ahmad Yatim sebagai aktor yang menjadi inspirasi beliau dan menjadikan filem Pemburu sebagai rujukannya.

“Kalau hendak dipetik satu per satu, terlalu ramai. Allahyarham Nordin Ahmad kerana kredibilitinya, dan Allahyarham Omar Suwita yang pada tahun 1950-an terkenal sebagai pelakon dan penyanyi.

“Saya pernah berjumpa dengan Omar selain Allahyarham Ahmad Mahmood, Allahyarham M. Amin.

“Saya memandang tinggi nama-nama ini,” katanya. Hasnul bersyukur kerana sempat mengabadikan kenangan, mengarah dan menemu bual seniman dan seniwati yang banyak berjasa kepada dunia hiburan tanah air menerusi dokumentari khas, Angin Menderu.

Antara penghibur yang sempat diwawancara ialah Allahyarham Nona Asiah, Allahyarham Momo Latiff, Allahyarham Maria Menado, R. Ismail.

“Semuanya pergi meninggalkan kita. Namun saya bersyukur kerana sempat menemu bual mereka,” katanya.

Hasnol berpandangan genre Melayu klasik yang merupakan pemula kepada perkembangan dunia muzik tanah air hari ini kembali diraikan.

“Terdapat ahli muzik sekarang, terutamanya yang datang dari arena underground, mengambil genre popular pada era 1950-an dan 1960-an sebagai insiprasi kepada muzik yang mereka bawakan.

“Saya bangga kerana ada anak muda sekarang yang bukan sahaja cakna dengan sejarah muzik tempatan, malah kreatif dalam mengolah muzik lama menjadi baharu,” katanya.

PANDEMIK YANG DIPERMUDAHKAN

Disoal tentang fasa sukar, Hasnul memberitahu tempoh menjalani perintah kawalan pergerakan antara yang paling mencabar baginya.

Ketika itu, ramai yang hilang pekerjaan, terpaksa berkurung di rumah bagi mengelakkan wabak covid-19 terus menular.

Bagaimanapun, Hasnul berterima kasih kepada Allah kerana memudahkan segala urusan, meluaskan rezeki yang tidak disangka-sangka.

“Ramai orang terkesan ketika pandemik. Alhamdulillah saya pula mampu bertahan kerana pengambaran, atas kebenaran pihak berkuasa, secara berkala dapat diteruskan.

“Saya juga dibayar untuk menjalani raptai bagi filem yang belum habis penggambaran selain menulis skrip untuk beberapa syarikat produksi.

“Jadi, Alhamdulillah saya sewaktu tempoh perintah kawalan pergerakan diluaskan rezeki kerana lebih awal bersedia,” katanya.

Hasnul menganggap kehidupan seperti roda yang berputar, ada masanya seseorang itu berada di atas dan ada pula yang berada di bawah. Itu baginya ketentuan Tuhan yang perlu dijalani setiap manusia.

“Sebagai penggiat seni, kita akan melalui fasa turun dan naik. Hidup ini bagai putaran roda, kadang kita di atas dan ada masanya kita di bawah.

“Tetapi, saya tidak melihat fasa kejatuhan saya sebagai halangan kerana selagi saya bernafas dan diberi inspirasi, selagi itu saya bekerja. Apabila inspirasi itu berakhir, maka matilah saya,” katanya lagi.

Dalam masa sama, amalan Hasnul yang gemar menyimpan wang dan hidup bersederhana banyak menyelamatkan dirinya daripada masalah kewangan.

“Saya mengurus kewangan saya dengan baik. Saya bukan berlakon semata-mata, tetapi saya juga menulis, mengarah dokumentari dan berbagai lagi kerja seni yang mendatangkan hasil.

“Jadi, setiap pulangan yang saya dapat hasil kerja-kerja itu akan saya simpan untuk digunakan ketika memerlukan.

“Saya tidak suka membazir wang, lebih senang menyimpan. Saya tidak kaya, tetapi Alhamdulillah rezeki itu cukup untuk saya sehinggakan saya boleh menyimpan,” kongsinya lagi.

M. NASIR PENDIAM, SUKA MENYAKAT

M. Nasir merupakan antara penggiat seni yang berkawan baik dengan Hasnul dan hubungan mereka, yang terjalin sejak 30 tahun yang lalu kekal utuh sampai ke hari ini.

Hasnul memaklumkan M. Nasir dan dia mempunyai persamaan dari segi sikap dan perkara itu membuatkan mereka kekal bersahabat.

“Saya mengenali M. Nasir ketika menjalani latihan industri di Luncai Emas semasa melanjutkan pelajaran di Malaysia. Saya ingat lagi ketika itu saya mengikuti penggambaran filem Merah pada tahun 1996.

“Saya dulu tak banyak cakap. Oleh kerana saya seorang pendiam, M. Nasir selalu menyakat saya. Lama kelamaan, saya pun sudah pandai menyakat beliau.

“Saya dan M. Nasir berkongsi banyak persamaan, antaranya kami tidak banyak berbicara. Tetapi, kalau kena dengan topik perbualan, contohnya filem, banyak juga pandangannya,” katanya.

Sejak dari saat itu, Hasnul menjadi rapat dengan M. Nasir, hubungan baik kekal sehingga ke hari ini. Malah, M. Nasir acap kali meminta beliau membuat persembahan dalam beberapa konsert yang dijayakan beliau.

“Pada 1999, beliau meminta saya membuat persembahan tarian untuk konsert Gembala M. Nasir di Singapura.

“Saya bukanlah seorang penari, jadi apabila diminta, kekok jadinya. Namun disebabkan itu permintaan M. Nasir, saya turutkan.

“Tapi saya gembira apabila M. Nasir dan arwah Rosli Khamis (Loloq) memberi kepercayaan kepada saya untuk membuat persembahan ketika pembukaan konsert itu. Bukan itu sahaja, saya juga turut diberi kepercayaan untuk berlakon di pertengahan dan akhir konsert tersebut,” katanya lagi.

Sepanjang mengenali M. Nasir, Hasnul berpeluang bekerjasama dengan penyanyi dan juga komposer itu dalam beberapa filem dan drama siri antaranya Tombiruo: Penunggu Rimba (2017), Special Force: Anarchy (2023).

Scroll to Top