zaky@bh.com.my
PUTRAJAYA: Kerajaan menerbitkan Sukuk Kelestarian, sekuriti pertama seumpamanya di dunia dalam denominasi dolar Amerika Syarikat (AS) membabitkan nilai keseluruhan AS$1.3 bilion (RM5.4 bilion).
Terbitan sekuriti bertempoh matang 10-tahun dan 30-tahun dengan masing-masing bernilai AS$800 juta (RM3.3 bilion) dan AS$500 juta (RM2.1 bilion) itu mendapat penarafan A3 oleh Moody’s Investors Service serta A- oleh S&P Global Ratings.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata terbitan Sukuk Kelestarian mencerminkan keyakinan pelabur terhadap negara apabila sukuk berkenaan terlebih langgan sebanyak 6.4 kali.
Beliau berkata, berikutan permintaan yang amat menggalakkan, kerajaan memutuskan untuk meningkatkan saiz terbitan asal daripada AS$1 bilion (RM4.12 bilion) kepada AS$1.3 bilion (RM5.4 bilion).
Katanya, permintaan yang tinggi itu juga memberikan kadar hasil dan spread terendah bagi terbitan sukuk berdenominasi dolar AS oleh Malaysia dengan ‘tranche’ 10-tahun ditetapkan pada 2.070 peratus (T + 50 mata asas) dan ‘tranche’ 30-tahun pada 3.075 peratus (T + 80 mata asas).
“Yang lebih penting, permintaan ini mencerminkan keyakinan pasaran ke atas pemulihan dan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia walaupun berhadapan dengan cabaran getir akibat pandemik COVID-19 dalam tempoh setahun lalu.
“Terbitan ini bukan saja mengungguli pelbagai aspek malah menjadi sebuah pengiktirafan yang tinggi ke atas keupayaan inovatif industri kewangan Islam Malaysia dalam menstruktur sukuk bagi memajukan dasar berpaksikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk mencapai sasaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030),” katanya dalam satu kenyataan.
Terbitan sulung Sukuk Kelestarian dalam dolar AS adalah sukuk pertama di dunia yang diterbitkan oleh sesebuah negara/kerajaan di mana terimaan terbitan akan disalurkan kepada projek sosial dan mesra alam yang menepati SDG oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Terbitan sukuk itu membolehkan kerajaan memenuhi komitmen sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab, selaras dengan status sebagai penandatangan dalam Perjanjian Paris, di samping menggiatkan usaha untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi rakyatnya.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, terbitan Sukuk Kelestarian itu turut membuktikan usaha kerajaan menangani kesan perubahan iklim serta menggiatkan peralihan ke arah ekonomi yang lebih berdaya tahan dan inklusif sejajar dengan WKB 2030.
“Sukuk ini juga unik kerana aset sandarannya adalah aset lestari iaitu baucar yang mewakili hak perjalanan rangkaian pengangkutan awam Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan KL Monorail.
“Ia menjadi terbitan berdaulat pertama yang menggunakan aset sandaran seumpama ini, lantas menjadi penanda aras baharu selain menyerlahkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pasaran kewangan Islam global, serta memperkukuh kedudukan negara sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia,” katanya.
Beliau menjelaskan, Sukuk Kelestarian diterbitkan menerusi syarikat bertujuan khas (SPV) dikenali Malaysia Wakala Sukuk Bhd dan berasaskan Rangka Kerja Sukuk SDG Kerajaan Malaysia yang baru diwujudkan.
Katanya, rangka kerja itu ini telah dinilai oleh Sustainalytics, yang mengiktirafnya sejajar dengan empat komponen teras Social Bond Principles 2020 (SBP), Green Bond Principles 2018 (GBP), dan ASEAN Sustainability Bond Standards 2018 (ASEAN SUS).
“Kedua-dua dokumen Rangka Kerja dan Pandangan Pihak Kedua oleh Sustainalytics boleh diakses melalui https://www.mof.gov.my/en/economy/sustainability.
“Program jelajah secara maya yang meliputi pelabur Asia, Asia Barat, Eropah dan AS berjaya menarik minat pelbagai segmen pelabur,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, pengagihan sukuk itu dibuat secara menyeluruh dengan ‘tranche’ 10-tahun diagihkan sebanyak 55 peratus kepada pelabur Asia, 33 peratus kepada pelabur Eropah, Asia Barat dan Afrika serta 12 peratus lagi kepada pelabur AS.
Katanya, sebanyak 67 peratus daripada ‘tranche’ 10-tahun diagihkan kepada pengurus dana dan syarikat insurans, 18 peratus kepada bank pusat dan kerajaan, 14 peratus kepada bank-bank dan satu peratus kepada pelabur lain.
“Bagi ‘tranche’ 30-tahun pula, ia diagihkan sebanyak 46 peratus kepada pelabur Asia, 33 peratus kepada pelabur Eropah, Asia Barat dan Afrika dan baki 21 peratus kepada pelabur AS.
“Untuk ‘tranche’ 30-tahun, sebanyak 83 peratus diagihkan kepada pengurus dana, 10 peratus kepada bank-bank, empat peratus kepada bank pusat dan kerajaan serta tiga peratus kepada pelabur lain,” katanya.
CIMB, HSBC, dan J.P. Morgan berperanan sebagai Penaja Jamin Bersama serta Pengurus Utama Bersama bagi terbitan Sukuk Kelestarian.
Selain itu, HSBC Amanah Malaysia dan J.P. Morgan juga adalah Ejen Penstrukturan SDG, manakala Struktur Syariah pula diluluskan oleh Jawatankuasa Lembaga Syariah CIMB Islamic Bank Bhd dan Jawatankuasa Pengawasan Syariah Global HSBC.
© New Straits Times Press (M) Bhd




