Terbuka terima pandangan bekas pemain

Terbuka terima pandangan bekas pemain
Tengku Zafrul. Foto Bernama

Tengku Zafrul. Foto Bernama

TENGKU Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz terbuka mendengar sebarang pandangan termasuk legenda dan bekas pemain bagi memacu badminton negara ke tahap lebih tinggi.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu mahu mengadakan sesi libat urus yang menjadi platform buat beliau mendengar, memahami dan meneliti semua pandangan.

Malah beliau percaya pendekatan inklusif berkenaan adalah kunci untuk membina perancangan yang komprehensif dan realistik demi kemajuan badminton Malaysia di peta dunia.

“Saya akan mendapatkan pandangan semua termasuk pihak media dan bekas pemain-pemain badminton yang boleh dikatakan sebagai legenda.

“Kalau mereka sudi meluangkan masa untuk memberikan maklumat yang konstruktif. Ia amat dialu-alukan,” katanya.

Antara legenda badminton negara termasuk tiga beradik – Datuk Misbun Sidek, Datuk Seri Jalani dan Datuk Rashid.

Nama besar lain ialah Datuk Lee Chong Wei, Tan Boon Heong, Khoo Khen Kiat, Roslin Hashim dan Goh Liu Ying.

“Pandangan mereka kita boleh guna dan saya yakin ia akan membantu BAM,” ujar Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pula berharap Tengku Zafrul mewujudkan lebih banyak ruang kepada bekas pemain negara untuk menyumbang pandangan serta kepakaran bagi memajukan sukan tersebut.

Bekas tokoh korporat itu minggu lalu dipilih sebulat suara sebagai presiden ke-13 badan induk badminton negara.

Scroll to Top