yusri.muzamir@bh.com.my
Kuala Lumpur: Rang undang-undang (RUU) berkaitan antibuli mungkin dibentang secara berasingan mengikut demografi membabitkan kelompok kanak-kanak dan dewasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Kertas Kabinet berhubung cadangan itu akan dibentang kepada Jemaah Menteri.
RUU itu, katanya, bakal mewujudkan kuasa bagi penubuhan Tribunal Antibuli, bertujuan memberi alternatif kepada mangsa, terutama jika tidak berpuas hati dengan prosedur pihak berkuasa termasuk sekolah.
Beliau berkata, populasi pelajar mencecah 5.1 juta di lebih 10,000 sekolah seluruh negara, sekali gus mungkin mewujudkan perbezaan keadaan yang sentiasa berubah atau fluks ketara antara kanak-kanak dan golongan dewasa.
“Banyak pihak bertanya sama ada kita perlu memiliki satu set undang-undang untuk semua atau dibuat secara berasingan mengikut kumpulan umur berbeza.
“Perkara ini akan diputuskan Jemaah Menteri dan saya akan membentangkan kelebihan serta kekurangan cadangan terbabit kepada Kabinet.
“Jika RUU ini menggabungkan semua peringkat usia, ia dikhuatiri menimbulkan perbezaan fluks sangat ketara,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau bertindak sebagai moderator forum ‘Nation Building and Future Reslience: Youth and Bullying’ sempena ‘International Young Future Summit’ anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi.
Mengenai penubuhan tribunal antibuli, Azalina berkata, ia dijangka mampu mempercepat prosedur siasatan kes memandangkan badan berkenaan tidak tertakluk kepada kes jenayah lain seperti dilaksanakan polis.
Katanya, pihaknya juga sedang meneliti kuasi-kehakiman iaitu platform mahkamah tersendiri yang berfungsi dengan lebih cepat dan sulit, sama ada secara mediasi atau penghukuman.
“RUU ini bakal membenarkan komunikasi dibuat secara terus kepada tribunal sekiranya mereka (mangsa atau waris) tidak berpuas hati dengan keputusan pihak sekolah. Secara asasnya, tribunal ini bertujuan mencari penyelesaian.
“Dalam konteks semasa, bagi golongan berusia 18 tahun ke atas, perkara ini dilihat daripada konteks berbeza sama ada ia masih dianggap sebagai kesalahan jenayah atau tidak. Semua perkara ini akan dinilai Jemaah Menteri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




