Terdesak tiada gaji, Nelson 'cari' Tunku Mahkota Ismail

Terdesak tiada gaji, Nelson 'cari' Tunku Mahkota Ismail

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kesempitan hidup yang semakin menghimpit memaksa legenda bola sepak Kedah, Nelson San Martin bertindak berani apabila secara terbuka ‘mencari’ pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail bagi mendapatkan bantuan kewangan termasuk cuba mencari pekerjaan.

Menerusi perbualan yang tular di media sosial, Nelson dilihat seakan-akan buntu apabila bertanyakan cara untuk menghubungi Tunku Mahkota Ismail itu selepas seorang peminat di laman sosial mencadangkan agar dia mendapatkan bantuan daripada individu berpengaruh berkenaan.

“Bagaimana untuk menghubungi Tuanku?” kata Nelson secara ringkas, namun cukup menggambarkan keadaan terdesak yang sedang dihadapinya ketika ini.

Lebih mencuri perhatian, seorang lagi peminat tampil memberi cadangan ‘berani’ apabila menggesa Nelson supaya menghantar mesej peribadi (DM) kepada Tunku Mahkota Ismail menerusi Instagram (IG), termasuk melalui IG Story, sebagai usaha terakhir untuk menarik perhatian Pemangku Sultan Johor itu.

Situasi itu tercetus susulan pendedahan mengejutkan Nelson yang mendakwa sudah berbulan-bulan tidak menerima gaji sebagai Pengarah Teknikal Kedah Darul Aman (KDA) FC sehingga menjejaskan kehidupannya.

Menurutnya, dia tiada pilihan selain mendedahkan perkara itu di laman Facebook miliknya sebagai jalan terakhir selepas gagal menemui penyelesaian.

Malah, dalam usaha meneruskan kelangsungan hidup, Nelson turut berkongsi kod QR kepada penyokong Kedah yang ingin menghulurkan sumbangan, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Perkembangan itu kini hangat diperkatakan, dengan ramai tertanya-tanya sama ada ‘seruan’ terbuka Nelson itu akan sampai ke pengetahuan Tunku Mahkota Ismail atau sebaliknya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top