KUALA TERENGGANU: Aktiviti solat jemaah di masjid dan surau di negeri ini kembali dirapatkan berkuat kuasa 1 April ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, serentak perkembangan itu, aktiviti solat sunat Hari Raya Aidilfitri turut boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.
Katanya, semua masjid dan surau dibenarkan melaksanakan solat sunat tarawih, majlis berbuka puasa, moreh, bacaan al-Quran secara berjemaah, qiamullail dan lain-lain aktiviti keagamaan sepanjang bulan Ramadan ini.
“Kehadiran jemaah bagi aktiviti bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri turut dibenarkan kepada lelaki dan perempuan termasuk kanak-kanak berumur tujuh tahun ke atas.
“Jawatankuasa masjid dan surau digalakkan menetapkan satu kawasan khas yang bersesuaian bagi kanak-kanak berumur tujuh hingga dua belas tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti solat jemaah di masjid, surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.
Katanya, keputusan berkenaan diambil susulan keputusan Malaysia beralih ke fasa endemik bermula April ini.
Shaikh Harun berkata, pelaksanaan aktiviti di masjid dan surau hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti wajib memakai pelitup muka dan mengimbas aplikasi MySejahtera serta tidak perlu membawa sejadah.
Bagaimanapun, katanya, bersalaman dalam kalangan jemaah masih tidak dibenarkan dan golongan itu diminta sentiasa menjaga kebersihan serta kesihatan diri.
Dalam pada itu, menurutnya, majlis akad nikah di masjid, surau dan premis persendirian dibenarkan tanpa had kapasiti berdasarkan garis panduan terperinci yang akan dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
“Umat Islam turut dibenarkan menziarahi tanah perkuburan di samping solat jenazah tanpa penjarakan fizikal.
“Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berharap pihak jawatankuasa masjid dan surau dapat mematuhi SOP ditetapkan bagi menghalang penularan Covid-19,” katanya. – UTUSAN




