Terengganu idam 'kilang' lahirkan penjaga gol terbaik negara

Terengganu idam 'kilang' lahirkan penjaga gol terbaik negara

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Persatuan Bolasepak Melayu Terengganu (PBSMT) menganjurkan klinik penjaga gol dengan sasaran melahirkan lebih ramai penjaga gol muda berkemahiran tinggi yang mampu bersaing sehingga ke peringkat antarabangsa.

Klinik yang julung kali diadakan di Pusat Latihan Bolasepak Terengganu FC pada Sabtu lalu itu dihadiri hampir 100 penjaga gol muda yang terdiri daripada murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah.

Lebih menarik, tenaga jurulatih yang terlibat dalam program yang mendapat kerjasama daripada Kronos Malaysia dan Kelab Bolasepak Kronos Terengganu itu termasuk bekas penjaga gol Harimau Malaya, Mohd Izham Tarmizi dan penjaga gol berpengalaman Terengganu, Zubir Ibrahim.

Penolong Penyelaras Program, Mohd Yusran Mat Sharif berkata, selain dua penjaga gol berkenaan, turut terlibat mengendalikan klinik itu ialah bekas penjaga Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Sharmiza Yusoff dan beliau sendiri.

“Matlamat utama program ini adalah untuk melahirkan lebih ramai lagi penjaga gol muda berkemahiran tinggi yang mampu bersaing di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangasa.

“Ini kerana latihan khusus kepada penjaga gol sebelum ini kurang diberikan pendedahan dan perhatian bermula di peringkat akar umbi.

“Jadi dalam program yang disertai hampir 100 penjaga gol muda dari Terengganu itu, kami memberikan pendedahan berkaitan teknik dan taktikal model semasa berkaitan penjaga gol bola sepak profesional.

“Pada masa sama juga program ini dapat membentuk keyakinan diri, disiplin dan mentaliti juara dalam kalangan pelatih sekali gus mampu menyediakan platform pembangunan jangka panjang bagi melahirkan bakat baharu yang boleh diketengahkan hingga ke peringkat lebih tinggi,” kata Yusran.

Majlis penutup klinik berkenaan disempurnakan oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top