Selayang: Terengganu FC terus mengekalkan momentum kemenangan apabila menundukkan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW) 2-0 dalam aksi Liga Super Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.
Dalam aksi derbi Pantai Timur itu, skuad Penyu yang kini dibimbing pemangku ketua jurulatih Tengku Hazman Raja Hassan tampil lebih tersusun dan dominan apabila menguasai sebahagian besar permainan sepanjang 90 minit.
Walaupun tuan rumah terlebih dahulu mencuri perhatian pada minit ke-15 menerusi percubaan M. Rakesh, sepakan pemain itu sekadar tersasar dan gagal menguji benteng pelawat.
Terengganu kemudian mula mengatur rentak dengan beberapa gerakan berbahaya, termasuk percubaan tonggak import, Panshanbe Ehsoni yang hampir membuka jaringan, namun percubaannya tersasar tipis.
Azam Azmi Murad turut mencuba nasib menerusi rembatan jarak jauh pada minit ke-34, namun percubaan itu juga tidak menepati sasaran.
Kedua-dua pasukan terus buntu mencari gol pembukaan apabila kedudukan 0-0 kekal sehingga wisel penamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Terengganu hampir memecah kebuntuan seawal minit ke-49 apabila Ehsoni melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti, namun bola sekadar menggegarkan palang gol.
Kelantan TRW yang diketuai Akmal Rizal Ahmad Rakhli cuba bangkit memberi saingan dan hampir berada di depan menerusi tandukan Danial Haqim Draman hasil sepakan penjuru, namun percubaannya hanya sedikit melewati palang gol.
Kebuntuan akhirnya terlerai pada minit ke-58 apabila Raianderson da Costa Morais melakukan gerakan menarik sebelum melorongkan bola kepada Gervane Zjandric Adonnis Kastaneer yang tenang menewaskan penjaga gol lawan untuk meletakkan Terengganu di hadapan.
Gol itu jelas menyemarakkan semangat pelawat yang terus mengasak, namun penjaga gol KTRW, Damyan Valeriy Damyanov beberapa kali bertindak cemerlang termasuk menafikan peluang Ehsoni dalam situasi satu lawan satu pada minit ke-68.
Tatkala tuan rumah berusaha mencari gol penyamaan, Terengganu menutup tirai kemenangan menerusi sepakan penalti Shervoni Mabtshoev pada masa tambahan babak kedua.
Keputusan 2-0 itu menyaksikan Terengganu terus mengukuhkan kedudukan di tangga kelima liga dengan 31 mata, manakala Kelantan TRW kekal bergelut di kedudukan ke-11 selepas hanya mengumpul 15 mata.-UTUSAN


