
Terengganu bawa pulang tiga mata dari Brunei. FOTO: MFL
TERENGGANU FC kembali ke landasan kemenangan selepas menumpaskan DPMM FC 5-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Barakas, malam ini.
Skuad bimbingan Badrul Afzan Razali tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila penyerang import, Careca meledak gol seawal minit pertama.
Rentak pantas itu diteruskan dengan sumbangan pemain tengah Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov yang menggandakan kedudukan pada minit ke-16.
Careca terus menjadi watak penting apabila menyempurnakan sepakan penalti minit ke-74 untuk gol kedua peribadinya, sekali gus meletakkan Terengganu selesa di depan.
Pesta gol skuad Penyu diteruskan apabila Yanin Kevin Mabella menjaringkan gol keempat pada minit ke-86.
Penyerang muda, Muhammad Syahmi Zamri kemudian melengkapkan malam gemilang pelawat dengan gol kelima pada masa kecederaan minit ke-93.
Kemenangan bergaya itu mengubat kekecewaan Terengganu selepas tunduk 1-2 kepada Imigresen FC pada aksi pertama Pusingan 16 Piala FA di Batu Kawan, Pulau Pinang sebelum ini.
Tiga mata diraih ke atas anak buah Jamie McAllister itu juga membolehkan Terengganu memimpin kedudukan liga dengan tujuh mata diikuti penyandang juara Johor Darul Ta’zim (JDT) kedua (enam mata) kurang satu perlawanan.
JDT akan menentang Kuching City FC di Stadium Negeri, Kuching, pada Ahad.