Teresa Kok selar tindakan Jamal Yunos, dakwa lelong tuala & selipar hina mahkamah

Teresa Kok selar tindakan Jamal Yunos, dakwa lelong tuala & selipar hina mahkamah

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menyelar tindakan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Jamal Yunos yang mengadakan lelongan tuala dan selipar bagi melunaskan kos guaman, dengan mendakwa ia satu perbuatan yang memperlekehkan institusi kehakiman.

Teresa Kok selar tindakan Jamal

Menerusi kenyataan di Facebook, Teresa Kok menyatakan cara tersebut bukan sahaja tidak bermoral malah mencerminkan sikap tidak menghormati keputusan mahkamah.

“Apa yang amat dikesali ialah cara yang kasar dan tidak bermoral yang terus digunakan oleh Datuk Jamal, termasuk cubaan beliau untuk memperlekeh dan mempermainkan jumlah yang telah diperintahkan oleh mahkamah.
Menjadikan pematuhan terhadap keputusan mahkamah sebagai sindiran bukan sahaja menghina, malah mencerminkan sikap tidak menghormati asas kesopanan dan proses kehakiman,” katanya.

Teresa Kok dakwa Jamal hina mahkamah

Kenyataan itu susulan laporan bahawa Jamal berjaya mengumpul RM66,000 menerusi lelongan persendirian membabitkan sehelai tuala terpakai dan sebelah selipar miliknya bagi membayar baki kos guaman tertunggak berkaitan kes saman fitnah terhadap Teresa berhubung isu dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) pada 2017.

Walaupun Jamal mendakwa lelongan tersebut sebagai usaha ikhlas untuk melunaskan hutang, Teresa melihatnya sebagai satu bentuk provokasi dan serangan peribadi.

“Ini bukanlah kritikan yang sah. Ia merupakan provokasi yang disengajakan serta serangan peribadi melalui bahasa yang menjatuhkan maruah dan tidak bertanggungjawab,” katanya.

teresa kok

Beliau turut mengingatkan bahawa perintah injunksi Mahkamah Tinggi masih berkuat kuasa dan sebarang pelanggaran boleh membawa implikasi undang-undang lebih berat.

“Perintah mahkamah bukan sesuatu yang boleh diabaikan, dan tiada sesiapa pun yang berada di atas undang-undang.
“Sekiranya kenyataan berunsur fitnah ini berterusan, dan jika terdapat sebarang pelanggaran lanjut terhadap perintah injunksi Mahkamah Tinggi, maka saya tidak mempunyai pilihan selain mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.
“Ini, termasuk prosiding penghinaan mahkamah bagi mempertahankan kewibawaan mahkamah serta melindungi reputasi dan integriti saya,” katanya.

Artikel lain: Jamal Yunos lelong selipar & tuala, lunas kos penghakiman kepada Teresa Kok

Untuk rekod, Teresa memenangi saman fitnah tersebut pada 2022 dengan Mahkamah Tinggi memerintahkan Jamal membayar ganti rugi RM300,000 serta kos guaman.

Pada 30 Julai 2024, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Jamal untuk mendapatkan kebenaran merayu, dan pada 28 Januari lalu, mahkamah menyita 14 barangan miliknya bagi mendapatkan kembali RM66,061.85 kos guaman tertunggak.

Sumber: Facebook Teresa Kok

Scroll to Top