Jakarta: Malang nasib seorang wanita warga emas, Herlina Sianipar yang maut akibat dicederakan anaknya sendiri, Nikson Pangaribuan yang juga anggota polis.
Tribunnews melaporkan, insiden tragis itu berlaku pada 1 Disember lalu di warung milik mangsa di Kampung Rawajamun dekat Bogor, Jawa Barat, Indonesia.
Ketua Polis Cileungsi, Kompol Wahyu Maduransyah Putra, memaklumkan pembunuhan berlaku kira-kira jam 9.30 malam ketika mangsa sedang melayan pelanggan.
Nikson, 41, menolak ibunya hingga terjatuh, kemudian mengambil tong gas tiga kilogram (kg) yang ada di warung dan menghentaknya ke kepala mangsa sebanyak tiga kali.
Saksi kejadian, Hotbin Pasaribu terus melarikan diri kerana takut sebelum melaporkan apa yang berlaku kepada pihak berkuasa.
Selepas menerima laporan kira-kira jam 10.30 malam, polis terus bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
Mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Kenari namun disahkan meninggal dunia.
Manakala anaknya, Nikson melarikan diri menggunakan kenderaan pikap Suzuki.
Pada 2 Disember, lelaki itu dilihat memarkirkan kenderaannya di tengah jalan raya depan Hospital Hermina Cileungsi kira-kira jam 1 pagi.
Dia kemudian berjalan kaki menuju ke sebuah kedai kopi dan membuat onar di sekitar lokasi.
Balai Polis Cileungsi, bersama pasukan dari Balai Polis Bogor dan Balai Polis Bekasi, berhasil menangkap suspek tidak lama kemudian.
Nikson dibawa ke Hospital Polri Kramatjati menggunakan ambulans.
Siasatan lanjut masih dijalankan dan Nikson boleh berdepan hukuman penjara hingga 15 tahun jika sabit kesalahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



