Terharu masih ada pihak tampil bantu

Terharu masih ada pihak tampil bantu

am@hmetro.com.my

Tumpat: Bantuan Kotak Rezeki menerusi Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Coway sempena Misi Bantuan Banjir sangat dihargai penerima terutama yang terjejas teruk ketika musibah itu baru-baru ini.

Mohd Rizuan Abdul Razak, 36, dari Kampung Kebik, di sini, berkata, bantuan makanan serta kit kebersihan diri yang disumbangkan sangat bermanfaat untuk kegunaannya sekeluarga.

“Ketika banjir lalu, saya dan isteri bersama dua anak selain ibu dan dua adik terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selama lapan hari memandangkan air memenuhi halaman sehingga memasuki rumah.

“Sepanjang di PPS, kami ada juga menerima bantuan makanan dan sebaik pulang semula ke rumah, sudah tiada lagi sumbangan diterima sehinggalah TKHM ini tiba.

“Rasa sangat terharu kerana meskipun sudah hampir sebulan banjir berlalu, masih ada pihak yang tampil membantu, sekurang-kurangnya ringan sedikit perbelanjaan kerana sudah banyak berhabis untuk kelengkapan sekolah baru-baru ini,” katanya.

Kelegaan sama terpancar di raut wajah Siti Zaleha Alhassan, 36, yang sanggup datang menerima agihan di Dewan Komuniti, di sini sambil memangku anak bongsunya yang berusia dua tahun.

Siti Zaleha yang menetap di Kampung Pok Joh, di sini, berkata, banjir baru-baru ini tidaklah mendatangkan kerugian yang banyak kepadanya dan keluarga namun menyebabkan suaminya yang hanya bekerja kampung tidak dapat melakukan kerja selama lebih seminggu.

“Hidup kami pun kais pagi makan pagi, kais petang makan petang jadi apabila banyak hari tak dapat bekerja, memang agak terjejas.

“Syukurlah ada sumbangan makanan seperti ini, sekurang-kurangnya masih ada rezeki untuk kami enam beranak,” katanya.

Bagi mangsa banjir dari Kampung Baru Nelayan, Nor Azni Zakaria, 33, pula bantuan makanan ada diterima ketika berlindung di PPS namun tidak lah banyak kerana tidak ramai penyumbang tampil.

Dia menganggap banjir yang berlaku tidaklah besar menyebabkan badan bukan kerajaan (NGO), agensi swasta, ahli perniagaan atau pempengaruh tidak ramai yang turun padang mengagihkan bantuan seperti sebelum ini.

“Bantuan hanya diterima daripada pihak berwajib dan yang terbaru menerusi TKHM ini…syukur kerana tidak melupakan kami yang memerlukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top