Karya hit ‘Masing Masing’ nyanyian Ernie Zakri terus mencatatkan sejarah apabila berjaya meraih lebih 236 juta penstriman menerusi paltfrom Spotify.
Lebih membanggakan, karya yang menampilkan sentuhan komposer Indonesia Ade Govinda itu turut diiktiraf oleh Asia Book of Records sebagai lagu Melayu/Indonesia terpantas mencapai 200 juta penstriman menjelang Ogos 2025.
Pencapaian tersebut sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Ernie dalam industri muzik serantau selepas sebelum ini dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada Disember 2025.
Pengiktirafan oleh Asia Book of Records bukan sahaja meraikan kejayaan tersebut, malah memberikan pengiktirafan kredibel yang mampu meningkatkan profil artis serta memperluaskan pendedahan media di seluruh rantau Asia.
Screenshot
Kejayaan ‘Masing Masing’ turut membuktikan kekuatan kolaborasi muzik serantau yang mampu merentasi sempadan negara serta menyatukan pendengar di seluruh Asia Tenggara menerusi karya yang sarat dengan emosi dan kejujuran.
Menurut Ernie, kejayaan yang diraih lagu tersebut adalah sesuatu yang tidak pernah dijangka ketika ia mula dihasilkan.
“Saya sangat terharu dan bersyukur bila dapat tahu ‘Masing Masing’ mencapai lebih 236 juta penstriman di Spotify dan diiktiraf oleh Asia Book of Records.
“Sejujurnya, semasa menghasilkan lagu ini bersama Ade Govinda, matlamat kami hanya mahu menyampaikan sebuah karya yang jujur dari segi emosi. Melihat ia kini meraih sambutan luar biasa sehingga melakar sejarah, saya amat menghargai sokongan padu para pendengar, terutamanya Ernienators yang sentiasa menyokong perjalanan seni saya sejak awal,” katanya.


Sejak dilancarkan, lagu tersebut bukan sahaja mendapat sambutan hangat di Malaysia dan Indonesia, malah turut menarik perhatian pendengar di beberapa negara Asia Tenggara.
Bagi Ernie, kekuatan utama lagu itu terletak pada mesej serta emosi yang dekat dengan kehidupan ramai.
“Saya rasa kekuatan Masing Masing adalah pada ceritanya yang sangat dekat dengan kehidupan ramai orang. Walaupun ia lagu Melayu/Indonesia, emosi dalam lagu ini bersifat universal, jadi pendengar dari mana-mana pun boleh ‘relate’.
“Ditambah pula dengan kolaborasi bersama Ade Govinda serta susunan muzik yang ringkas tetapi menyentuh hati, mungkin itu yang membuatkan lagu ini diterima baik di seluruh Asia Tenggara,” jelasnya.
Dengan pencapaian tersebut, Masing Masing kini dilihat sebagai antara lagu serantau paling berjaya dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus membuktikan bahawa muzik yang jujur dan penuh emosi mampu merentasi sempadan bahasa serta budaya.




