JIKA dahulu, kad jemputan merupakan medium utama untuk mengundang kehadiran tetamu ke majlis perkahwinan sama ada diserahkan secara bersemuka atau diposkan terus kepada individu yang mahu diundang.
Namun kini, perkembangan teknologi telah mengubah cara masyarakat menyampaikan undangan. Ramai yang memilih untuk menjemput tetamu secara maya termasuk menerusi aplikasi WhatsApp atau media sosial seperti Facebook.
Lebih ‘canggih’ lagi, ada juga tuan rumah yang melayangkan kad kahwin digital dalam kumpulan WhatsApp secara umum atau memuat naik siaran terbuka di laman media sosial mereka.
Timbul persoalan, apakah hukum menghadiri jemputan walimah yang disampaikan secara umum seperti itu? Adakah ia tetap wajib dipenuhi sebagaimana jemputan secara langsung?
Menjawab pertanyaan itu, Jabatan Mufti Negeri Selangor menjelaskan, kewajipan menghadiri majlis perkahwinan bergantung kepada beberapa syarat yang ditetapkan dalam syarak dan tidak semua jemputan perlu dihadiri.

INFOGRAFIK berkaitan hukum jemputan walimah yang dimuat naik oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor di akaun Facebook dan laman web jabatan mufti berkenaan.
Jabatan mufti itu kemudian menukilkan pandangan yang dikemukakan oleh Imam An-Nawawi dalam kitab Rawdhah at-Talibin:
“Antara (syarat wajib menghadiri jemputan) adalah apabila seseorang itu dijemput secara khusus sama ada dengan diajak secara langsung oleh tuan rumah ataupun melalui wakil yang dihantar kepadanya.
“Jika tuan rumah menyatakan jemputan: ‘Sesiapa yang mahu, bolehlah hadir’ atau tuan rumah mengutus seseorang untuk menjemput sesiapa sahaja yang dikehendaki atau wakil tersebut memberitahu kepada seseorang: ‘Hadir dan bawalah sesiapa sahaja yang engkau mahu’, lalu orang tersebut pula berkata kepada orang lain: ‘Hadirlah’, maka dalam keadaan seperti demikian, tidak wajib dan tidak juga disunatkan untuk memenuhi jemputan tersebut.”
Melihat ungkapan itu, jelas Jabatan Mufti Negeri Selangor berkata, jemputan walimah melalui media sosial secara terbuka tanpa pengkhususan kepada individu tertentu boleh disamakan dengan situasi yang disebutkan dalam pandangan Imam An-Nawawi.
Oleh itu, katanya, jelas bahawa jemputan seperti itu tidak dianggap sebagai satu tuntutan yang wajib dipenuhi kecuali ia dibuat secara peribadi sama ada menerusi mesej secara langsung, kad rasmi atau ajakan secara bersemuka.
“Kami cenderung menyatakan bahawa jemputan secara umum tidak menjadi tuntutan (kewajipan) untuk dipenuhi melainkan dinyatakan dengan khusus dan jelas ditujukan secara khas seperti dimaklumkan secara peribadi di dalam grup-grup tertentu atau melalui medium-medium lain seperti jemputan secara berhadapan, kad jemputan dan selainnya mengikut kepada pertimbangan dan syarat-syarat yang telah dinyatakan,” katanya.

HUKUM asal menghadiri walimah adalah wajib selagi tiada halangan yang dibenarkan syarak dan memenuhi syarat tertentu. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
Ia sebagaimana dipetik menerusi infografik dan artikel Taudhih al-Hukmi: Hukum berkaitan jemputan walimah yang disiarkan di laman web rasmi jabatan mufti berkenaan baru-baru ini.
Pada masa sama, Jabatan Mufti Negeri Selangor turut mengingatkan, hukum asal menghadiri walimah adalah wajib selagi tiada halangan yang dibenarkan syarak dan memenuhi syarat tertentu.
Namun, jika tidak dapat menghadiri kerana sebab tertentu yang dibenarkan, maka ia dianggap sebagai keuzuran yang dimaafkan.
Antara keuzuran-keuzuran yang dinyatakan oleh para ulama bagi seseorang untuk tidak memenuhi jemputan walimah termasuk:
1. Faktor kesihatan
Contohnya, apabila seseorang dijangkiti penyakit berjangkit seperti Influenza B, Covid-19 dan sebagainya yang boleh memudaratkan diri dan orang lain.
Ia termasuklah sakit psikologi atau emosi seperti kemurungan, kegelisahan atau tekanan perasaan yang menyebabkannya tidak sesuai untuk menghadiri jemputan berkenaan.

UNDANGAN secara umum tidak menjadi tuntutan (kewajipan) untuk dipenuhi melainkan dinyatakan dengan khusus dan jelas ditujukan secara khas seperti dimaklumkan secara peribadi dalam grup-grup tertentu atau melalui medium-medium lain seperti jemputan secara berhadapan, kad jemputan dan selainnya mengikut kepada pertimbangan dan syarat-syarat ditetapkan. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
2. Jarak lokasi yang jauh dan kesukaran dari segi pengangkutan.
3. Undangan kenduri kahwin yang banyak dalam satu masa.
4. Mempunyai tugasan atau tanggungjawab lain.
Ia khusus untuk mereka yang mempunyai komitmen kerja rasmi yang penting seperti mesyuarat, bekerja syif atau tugasan yang tidak boleh ditangguhkan.
Paling utama, Jabatan Mufti Negeri Selangor menegaskan agar kita sentiasa menjaga adab sesama manusia dengan memohon maaf kepada tuan rumah sekiranya tidak dapat hadir, selain mendoakan pasangan pengantin.
“Sebaiknya sampaikanlah permohonan maaf kepada tuan rumah serta perbanyakkanlah berdoa untuk pasangan yang melangsungkan perkahwinan agar mendapat keberkatan daripada ALLAH SWT,” kata jabatan mufti itu.