Terima kasih abang JPJ!

Terima kasih abang JPJ!

mhafis@mediaprima.com.my

Hulu Selangor: Perbuatan murni anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Stesen Penguat kuasa (SPK) Kalumpang menumpangkan wanita dan tiga anak kecil yang menaiki motosikal ditunggang suaminya dalam hujan lebat, meraih pujian ramai.

Situasi itu dilapor di Lebuhraya Utara-Selatan di sini, pada 6.45 petang Khamis lalu.

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, ketika itu anggota terbabit sedang melaksanakan rondaan Op Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, ketika melalui Kilometer 440 lebuh raya terbabit, anggotanya terlihat sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki bersama isterinya serta tiga anak kecil.

“Keadaan keluarga terbabit kelihatan mencabar kerana mereka terpaksa menempuh perjalanan dalam cuaca yang tidak menentu, tanpa perlindungan yang mencukupi.

“Menyedari risiko keselamatan yang boleh berlaku, anggota JPJ bertindak memberhentikan kenderaan rondaan di bahu jalan bagi memeriksa keadaan keluarga itu.

“Setelah berbual dengan penunggang motosikal itu, anggota mendapati mereka sedang dalam perjalanan untuk membeli kelengkapan menyambut Aidilfitri, namun terpaksa meneruskan perjalanan walaupun hujan lebat kerana tiada pilihan pengangkutan lain,” katanya.

Beliau berkata, atas dasar keprihatinan dan tanggungjawab sebagai penjawat awam, anggota JPJ terbabit mengambil inisiatif memberikan bantuan khidmat masyarakat.

“Isteri dan anak-anak penunggang motosikal itu dipelawa menaiki kenderaan rondaan JPJ bagi memastikan keselamatan mereka, sementara suami wanita itu meneruskan perjalanan dengan motosikalnya secara berhati-hati.

“Anggota JPJ terbabit kemudiannya menghantar wanita dan anaknya ke destinasi yang ingin dituju dengan selamat,” katanya.

Tambahnya, tindakan itu bukan sahaja mencerminkan nilai kemanusiaan, malah memperlihatkan peranan agensi penguatkuasaan dalam membantu masyarakat, khususnya ketika musim perayaan.

“Peristiwa ini menjadi contoh bagaimana semangat prihatin dan tanggungjawab sosial mampu memberikan makna besar kepada masyarakat.

“Di sebalik tugas penguatkuasaan undang-undang, anggota JPJ juga sentiasa bersedia menghulurkan bantuan demi memastikan keselamatan dan kebajikan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top