Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq enggan mengulas lanjut mengenai perancangan kehidupannya bersama pelakon dan penyanyi, Bella Astillah.
Kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, buat masa ini dia hanya mahu meraikan kemenangan ini bersama keluarga tersayang.
Malah, usai perbicaraan kes yang berlangsung pada Rabu, Syed Saddiq turut menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan buat penyokong dan peminat iaitu #Bass yang sentiasa mendoakannya.
“Saya terharu kerana dua tiga malam yang lalu, mereka mengadakan bacaan Yassin dan doa selamat untuk saya.
“Terima kasih kepada penyokong kami Bass yang sentiasa bersama tanpa disuruh atau diarahkan.
“Hari ini kita berkongsi air mata kemanisan doa kalian,” katanya kepada pemberita.

Pada Rabu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan hari ini atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim sebulat suara memutuskan bekas menteri itu tidak bersalah.
Sekaligus menerima rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023
Malah, turut bersidang Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Menurutnya, pertuduhan dihadapi Syed Saddiq tidak berasas dan pendakwaan gagal membuktikan kesalahan bersubahat walaupun pada peringkat kes prima facie.
Justeru, panel mendapati sabitan yang dikenakan terhadap Syed Saddiq oleh Mahkamah Tinggi terhadap keempat-empat pertuduhan tidak selamat selain mahkamah terdahulu tersalah arah dalam menjatuhkan hukuman itu.
Sumber: mStar



