“Terima Kasih Pilih Damai, Bukan Ego” – Noor Nabila Hargai Sharnaaz Ahmad Tepati Janji

“Terima Kasih Pilih Damai, Bukan Ego” – Noor Nabila Hargai Sharnaaz Ahmad Tepati Janji

Personaliti media sosial terkenal, Noor Nabila mencuri tumpuan apabila menitipkan ucapan penuh makna daripada buat bekas suaminya, pelakon Sharnaaz Ahmad, sempena hari lahirnya.

Menerusi perkongsian di Instagram Story (IGs), Nabila meluahkan rasa penghargaan atas kerjasama baik Sharnaaz dalam membesarkan anak tunggal mereka, Jebat Jayden, meskipun sudah berpisah.

“Ramai tanya macam mana kami buat co-parenting ini berjaya. Sebenarnya tiada manual. Cuma dua insan yang pernah kongsi segalanya, kemudian pilih untuk buang dendam dan fokus pada apa yang penting,” tulisnya.

Kakak kepada selebriti, Noor Nelofa ini juga berterima kasih kepada Sharnaaz kerana sentiasa menepati janji dan memilih kedamaian demi anak mereka.

“Seorang anak, satu tujuan, satu janji sejak hari pertama kami mendukungnya. Sharnaaz, terima kasih kerana menunaikan janji itu. Kerana pilih damai, bukan ego. Kerana hadir untuk anak kecil yang menjadikan kita ibu bapa,” luahnya.

Dalam masa sama, Nabila turut menzahirkan rasa bangga dan mendoakan kesejahteraan aktor filem popular Blood Brothers itu agar terus menjadi bapa yang baik.

“Saya bangga dengan lelaki yang kamu jadi hari ini dan bersyukur kerana kamu terus menjadi seorang bapa yang baik. Selamat hari lahir, Sharnaaz. Semoga Allah memberkati kamu, melindungi hati, memberi ketenangan dan menjaga keselamatan kamu,” tulisnya lagi.

Untuk rekod, Nabila dan Sharnaaz mendirikan rumah tangga pada 2017 sebelum bercerai pada 2020. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden yang kini berusia lima tahun.

Scroll to Top