'Terima kasih seluruh pembayar zakat'

'Terima kasih seluruh pembayar zakat'

Serdang: “Kepada seluruh pembayar zakat, saya nak ucapkan terima kasih kerana duit zakat anda telah membantu saya sampai ke tahap ini,” demikian kata-kata penerima Anugerah Pingat Emas Menteri, Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) Muhammad Harith Hazriq Mohd Rudyherman.

Muhammad Harith, 21, berkata, tanpa wang agihan zakat yang disumbangkan, dia tidak akan berjaya mengenggam segulung diploma pada hari ini.

Dia yang memperoleh Diploma Pentadbiran Perniagaan berkata, menerusi wang zakat itu, dia memperoleh RM450 setiap semester untuk menampung perbelanjaan harian semasa tiga tahun pengajiannya.

“Sebenarnya saya tak jangka akan menerima anugerah ini.

“Saya masuk libatkan diri seperti dalam ko-kurikulum pun sebab nak dapatkan pengalaman.

“Jadi ia, memang rezeki,” katanya selepas Majlis Konvokesyen Kali ke-17 KPBKL diPusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Majlis Konvokesyen itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Seramai 765 graduan menerima diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen Kali ke-17 ini.

Mohd Na’im semasa ucapannya berkata, KPBKL merupakan anak syarikat milik penuh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah memainkan peranan besar membuktikan Islam amat menitikberatkan kebajikan umatnya dalam setiap bidang bagi memastikan keamanan dan keharmonian kehidupan.

“MAIWP menerusi bidang kuasanya dalam pengagihan zakat dan bantuan bukan sahaja memberi pertolongan dari segi mencukupkan pendapatan dan kelengkapan harian semata-mata, tetapi juga dari pandangan jangka masa panjang dalam melonjak paradigma kehidupan menerusi pendidikan,” katanya.

Beliau berkata, dalam membangunkan pendidikan anak golongan asnaf, MAIWP telah membangunkan agensi-agensi pendidikannya terdiri daripada peringkat rendah sehingga ke peringkat pengajian tinggi dengan pelbagai pengkhususan.

Beliau turut berharap rantaian ini akan dapat memperkasakan ummah dan menyuburkan pembangunan keluarga Islam dalam yang lebih menyeluruh dan inklusif.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top