“Terima kasih semua. Maaf tak dapat bawa pulang emas atau perak…” -Aaron Chia

Pastinya semalam rakyat Malaysia menangis kegembiraan apabila, pemain badminton beregu negara, Aaron Chia Teng Fong dan Soh Wooi Yik memenangi pingat pertama negara di Olimpik Tokyo 2020.

Atlet berusia 23 dan 24 tahun ini berjaya mengalahkan pasangan beregu dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dengan keputusan 17-21, 21-17, 21-14.

Kejayaan ini pastinya begitu membanggakan negara dan menjadi tradisi sejak empat tahun lalu, kem pasukan badminton negara menghadiahkan pingat untuk Tanah Air.

Walaupun rakyat Malaysia begitu bangga dengan atlet muda negara, salah seorang dari pasangan beregu tersebut, Aaron Chia tetap meminta maaf kepada seluruh penyokong mereka kerana tidak membawa pulang pingat emas atau perak buat semua.

Perkongsian tersebut di muat naik Aaron Chia menerusi Instagramnya dengan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang menyokong mereka tanpa berbelah bahagi.

Akan tetapi, mereka tetap berasa begitu gembira dengan pencapaian cemerlang pada Olimpik pertama mereka lebih-lebih lagi berjaya menundukkan pasangan beregu nombor 1 dan 2 dunia.

Di akhir perkongsian tersebut, atlet muda itu berjanji akan terus berusaha untuk menjadi lebih baik dalam perjalanan karier mereka serta pertandingan-pertandingan akan datang.

Sehubungan dengan perkongsian tersebut, Instagram Aaron Chia telah dipenuhi dengan pelbagai ucapan tahniah. Mereka juga menzahirkan rasa gembira melihat perlawanan yang mendebarkan itu dan berharap mereka berdua terus berjaya di masa akan datang.

Sumber: Instagram Aaron Chia Teng Fong