‘Terima kasih semua’ – Shukor Adan

PERSARAAN bekas pemain kebangsaan, Muhammad Shukor Adan sebagai pemain profesional berakhir dengan kemanisan apabila dinoktahkan dengan kejayaan Kuala Lumpur City FC (KL City) menjulang kejuaraan Piala Malaysia.

Biarpun hanya sempat beraksi seketika apabila dimasukkan selaku pemain gantian pada masa kecederaan dalam final ulang tahun ke-100 kejuaraan berprestij bola sepak negara itu, namun detik itu bakal menjadi momen paling indah bagi menamatkan tempoh selama 24 tahun bergelar pemain.

Tambah manis apabila kejayaan menjulang trofi keramat bola sepak negara itu setelah menundukkan penyandang juara Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sekali gus kejayaan itu memberikan kejuaraan keempat buat skuad The City Boys itu setelah melakar hatrik menjulang Piala Malaysia pada edisi 1987, 1988 dan 1989 sebelum ini.

Menurut Shukor, kejayaan menjulang kejuaraan Piala Malaysia kali ini merupakan kejayaan yang cukup manis sebelum bersara sebagai pemain profesional.

“Kejayaan ini cukup manis buat saya sebelum menutup buku sebagai pemain. Saya dengan ini mengumumkan persaraan sebagai pemain di Liga Malaysia (Liga-M).

“Terima kasih kepada semua yang menyokong saya sepanjang 24 tahun bergelar pemain,” katanya selepas perlawanan akhir pada Selasa.

Untuk rekod, pemain kelahiran Melaka yang boleh beraksi selaku pemain pertahanan dan pemain pertahanan tengah itu mula terlibat dengan bola sepak sejak 1995 bersama Melaka menyertai Negeri Sembilan sehingga 2001.

Shukor kemudiannya berhijrah ke Selangor pada 2002 hingga 2008, Negeri Sembilan (2009-2012), ATM (2013), Felda United (2014-2018), Melaka United (2019) dan KL City (2020 hingga 2021) dan sepanjang tempoh itu, Shukor juga sering dipanggil beraksi dengan skuad kebangsaan mulai 2001 hingga 2014.

Shukor juga pernah dinobatkan selaku pemain paling bernilai pada musim 2007 lalu selain muncul selaku pemain paling tua menjaringkan gol dalam saingan Liga Super apabila menjaringkan gol ketika berdepan UiTM FC pada saingan Liga Super, 9 Mei.