Terima kasih Sesko, elak Man United diaibkan West Ham

Terima kasih Sesko, elak Man United diaibkan West Ham

Pagi tadi nyaris menjadi permulaan hari yang malang. Mengantuk satu hal kerana perlawanan West Ham dengan Manchester United berlangsung 4.15 pagi di Stadium London.

Malu pun hampir dapat berikutan United nyaris kalah apabila ketinggalan 0-1 menerusi jaringan Tomas Soucek pada minit ke-50 dan West Ham mendahului sehinggalah minit ke-95.

Mujur, penyerang muda Slovenia, Benjamin Sesko sekali lagi menjadi penyelamat United apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-96.

Dua minggu lalu, Sesko menjaringkan gol pada minit ke-94 ketika United yang awalnya mendahului 2-0, menang 3-2 ke atas Fulham.

Menariknya, Sesko yang menyertai United dari RB Leipzig dengan nilai 66.4 juta pound (RM360.08 juta) serta tambahan 7.3 juta pound (RM39.70 juta) bermula di bangku simpanan dalam kelima-lima perlawanan di bawah kendalian ketua jurulatih sementara, Michael Carrick.

Awal pagi tadi pun, dia hanya dimasukkan pada minit ke-69, tetapi kini menjaringkan lima gol dalam enam penampilan terakhir bersama United.

Keputusan seri itu bermakna, hasrat United untuk meraih lima kemenangan berturut-turut di bawah kendalian Carrick tidak kesampaian.

Apa puncanya sedangkan Carrick menurunkan barisan pemain sama dalam lima perlawanan berkenaan?

Sebelum perlawanan, saya sudah mengagak West Ham bukan lawan mudah kerana mereka turut menang tiga daripada empat perlawanan terakhir, walaupun kini menduduki tangga ke-18 liga.

Mereka menang ke atas Tottenham Hotspur, Sunderland dan Burnley, namun tewas kepada Chelsea dan sudah pasti, pasukan yang berjuang untuk kekal di Liga Perdana Inggeris (EPL) akan melakukan apa saja bagi mengelak tersingkir.

United bermula perlahan pada babak pertama dan beberapa pemain beraksi di bawah tahap prestasi sebenar masing-masing termasuk kapten, Bruno Fernandes.

Kesilapan bek kiri, Luke Shaw membiarkan bola melantun membuka ruang kepada Soucek menjaringkan gol pembukaan West Ham pada awal babak kedua.

Walaupun United menguasai perlawanan, corak permainan ‘low block’ dan parkir bas diterapkan Nuno Espirito Santo menyebabkan kubu West Ham sukar dilepasi.

Corak hantaran dekat ala tiki-taka United tidak berkesan untuk menyusup masuk di celah benteng West Ham, yang kemudian terus melancarkan serangan balas pantas sebaik mereka berjaya merampas bola.

Malah, pertahanan West Ham ‘semakin tebal’ selepas mereka mendahului dan corak permainan lawan seperti ini seharusnya membuka minda Carrick dan barisan kejurulatihan untuk mencari penyelesaian.

Mujurlah, ketika ‘haters’ sudah bersiap dengan kata-kata serta ayat kecaman, Sesko menyelamatkan maruah United dan menggembirakan hati penyokong di seluruh dunia.

Kalau tidak, mengantuk dapat, malu dan kecaman pun pasti dapat. Fuh, lega!

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top