Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa perpecahan dalam kalangan orang Melayu hanya akan melemahkan kekuatan politik dan masa depan mereka.
Menerusi hantaran di Facebook pada Khamis, Muhamad Akmal menyatakan penghargaan terhadap kenyataan Dr Mahathir yang menekankan kepentingan perpaduan orang Melayu dalam menghadapi cabaran semasa.
“Terima kasih Tun. Selagi Melayu berpecah, selagi itulah kita akan lemah,” katanya ringkas.

Terdahulu, Dr Mahathir menegur orang Melayu kerana membiarkan politik mereka terus berpecah dengan penubuhan banyak parti berteraskan kaum itu.
Beliau menekankan, kesilapan ini menyebabkan mereka kini hanya bersaing sesama sendiri.
“Hari ini ramai berpendapat UMNO yang kalahkan British. Jadi parti boleh beri kemenangan. Maka ditubuhlah beberapa parti. Ini memecahbelah orang Melayu. Mereka bersaing sesama mereka. Tidak mungkin ada antara mereka yang menang.
“Mereka kalah, negara tergadai. Tanah Melayu sudah jadi tanah orang lain. Siapa silap, yang silap ialah orang Melayu. Ini adalah perjuangan yang terakhir bagi orang Melayu,” katanya dalam hantaran itu.
Menurut Dr Mahathir, pada satu masa dahulu, orang Melayu bersatu melalui satu parti iaitu UMNO. Yang penting bukan UMNO semata-mata tetapi perpaduan yang diwujudkan melalui parti itu.

Artikel lain: Orang Melayu lakukan kesilapan biarkan politik berpecah -Tun M
Kini, selain UMNO, beberapa parti lain turut membawa perjuangan Melayu seperti Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR, Amanah dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS).
Parti kecil lain termasuk Pejuang, Berjasa, Ikatan dan Putra.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menegaskan hasrat parti untuk menyatukan seluruh parti Melayu dan Islam di bawah satu gabungan dikenali sebagai ‘grand collaboration’ atau ‘kolaborasi agung’, tanpa menggugat Kerajaan Perpaduan.

Beliau mengumumkan cadangan ini ketika sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang kemudian dipersetujui perwakilan.
Kolaborasi itu bertujuan menghimpunkan semua parti politik Melayu dan Islam di bawah satu landasan, terutamanya dalam menyelesaikan isu berkaitan kaum dan agama.
Pada Februari lalu, perbincangan seumpama itu berlangsung buat pertama kali semasa Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera di Ibu Pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Pertemuan itu turut dihadiri Pas, PKR, Amanah, PGRS, Berjasa, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Ikatan.
Sumber: FB Akmal Saleh




