Kuala Lumpur: Hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang jua. Peribahasa lama ini disifatkan amat tepat bagi menggambarkan rasa hati Muhammad Wafi Zabidi ketika diminta berkongsi kenangan sepanjang berkhidmat di bawah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Berkongsi kenangan bersama baginda, Muhammad Wafi, 34, yang bertugas sebagai tukang masak di Istana Negara berkata, dia tidak melupakan jasa Seri Paduka yang membuka laluan kepadanya dan pasangan, Nurul Ain Md Yusof, 34, untuk menimang cahaya mata selepas lima tahun menanti.
Aurora Sofea Humaira yang kini menjengah usia tiga tahun anugerah paling berharga selepas Tunku Azizah berkenan mengurniakan rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF) kepada mereka.
“Selepas Tunku Azizah bersemayam di Istana Negara pada 2019, Tuanku sering bertanya kepada bentara siapa pekerja di sini yang dah lama berkahwin tetapi belum ada anak dan bentara sebut nama saya.
“Kemudian, Tuanku terus bertemu saya di dapur Istana Negara dan bertanya kisah saya dan meminta saya jalani rawatan IVF. Saya sangat terkejut, kerana ia membabitkan kos tinggi dianggarkan RM30,000 dan ramai berhasrat melakukan rawatan ini, jadi saya sangat menjunjung kasih dengan kurniaan paling berharga daripada Tuanku,” katanya.
Tunku Azizah yang merupakan Pengasas Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) memilihnya melakukan rawatan di yayasan berkenaan yang menjadi impian setiap pejuang TTC (wanita yang cuba mengandung).
Muhammad Wafi dan isteri antara 20 pasangan yang berkhidmat di Istana Negara dikurniakan rawatan IVF.
Berkongsi pengalaman, Muhammad Wafi yang berkhidmat di Istana Negara selama 11 tahun berkata, beliau dan isteri menjalani rawatan ketika negara dilanda pandemik Covid-19 iaitu pada 2019 dan prosedur berkenaan mengambil masa hingga empat bulan.
Ibarat bertemu bukit di tepi telaga, dengan hanya sekali rawatan Muhammad Wafi dan pasangan dikurniakan anak perempuan yang sempurna dan sihat pada tanggal 2 Ogos 2020.
“Kurniaan ini kenangan yang saya ingat seumur hidup kerana rawatan IVF sangat mencabar terutama bagi wanita. Isteri saya dimasukkan ke hospital beberapa hari kerana kesukaran bernafas akibat ovari mengembang dan mengandungi banyak air serta dikhuatiri berisiko mengalami komplikasi.
“Bagaimanapun selepas itu, semua berjalan lancar dan apabila dikhabarkan IVF berjaya, Tuanku menitahkan saya jaga isteri betul-betul dalam fasa kehamilan dan tidak benarkan saya kerja di luar sedangkan waktu itu saya sepatutnya ditugaskan ke Kuantan, Pahang. Jadi selepas dititahkan begitu saya banyak bertugas di Istana Negara sahaja,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




