Penyanyi Datuk Nora Ariffin enggan mengambil pusing mengenai komen dan kecaman yang diberikan terhadapnya.
Kata Nora, setiap kali dia ditemu bual ada sahaja pihak yang tidak berpuas hati malah sanggup memberikan komen melampau terhadapnya.
Bagaimanapun, enggan mengambil pusing, Nora sempat memberikan amaran agar individu di luar sana berhati-hati dengan kata-kata yang dilontarkan.
“Setiap kali saya di interview, ada sahaja yang memberikan komen dan mengata sampai melampaui batas. Hati-hati.
“Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya,” katanya.
Perkara itu dikongsi Nora menerusi hantaran di ruangan Instagram Story miliknya baru-baru ini.
Berkongsi lanjut, pelantun lagu Dendam Dalam Diam itu turut menitipkan pesan dan mendoakan agar segala kecaman dan komen jahat itu dibalas dengan kebaikan.
“Mengatalah sepuas-puasnya. Saya doakan segala kebaikan buat kalian semua.
“Moga ini jadi pahala untuk saya, alhamdulillah,” tambahnya.