Pelakon terkenal, Shukri Yahaya, mendedahkan bahawa buat masa ini, dia memilih untuk menolak tawaran membawa watak lelaki ‘red flag’ dalam drama.
Meskipun sudah terbiasa dengan kecaman, Shukri atau nama penuhnya, Mohd Shukri Yahaya, 37, mengakui keputusan itu dibuat selepas kritikan netizen terhadap lakonannya sebelum ini dirasakan melampaui batas.
“Saya sudah lali dengan kecaman. Ada yang maki, hantar mesej panjang berjela, malah ada juga yang melabel saya dengan stereotaip tertentu. Tapi saya tak anggap itu sebagai sesuatu yang berat.
“Saya dah berbincang dengan pihak televisyen dan meminta mereka tawarkan saya drama yang lebih tenang.
“Kalau boleh, biarlah watak yang lebih ‘green flag’. Saya bimbang jika terus bawa watak toksik, orang akan terbawa-bawa dan terus mengecam,” katanya.
Menurut Shukri, perkara itu bukan sesuatu yang asing kerana sebelum ini pun ada penonton yang benar-benar percaya dia memiliki keperibadian sama seperti watak yang dilakonkan.
“Setiap kali selesai satu drama, saya akan ubah gaya rambut kembali seperti biasa. Tapi masih ada netizen yang kata, ‘ingatkan tadi itu betul-betul perangai sebenar, rupanya hanya berlakon’.
“Sampai ke tahap itu sekali impaknya. Sebab itu saya mahu berehat seketika daripada watak-watak sebegini,” jelasnya.
Shukri berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di lokasi penggambaran drama *Bru* di Shah Alam, baru-baru ini.
Dalam pada itu, pelakon 7 Hari Mencintaiku ini turut menegaskan agar netizen tidak mengheret keluarganya dalam sebarang kecaman.
“Saya tak kisah kalau orang nak kecam saya, itu sudah lumrah sebagai pelakon. Tapi jangan libatkan keluarga saya. Cukup setakat saya sahaja,” tegasnya.




