Terima pendapat pembangkang, jawapan ‘tenang’ KJ legakan hati rakyat

Sejak hari pertama Sidang Parlimen Dewan Rakyat bermula semula pada 26 Julai 2021, semua platform media sosial hangat membincangkan perbalahan dan perbahasan yang tegang antara wakil-wakil rakyat.

Pastinya isu-isu yang sudah ‘terperam’ lama dilontarkan kepada pihak berwajib supaya ada penerangan yang jelas kepada semua termasuklah rakyat Malaysia.

Disebalik ketegangan dan saling menyalahkan antara blok pembangkang dan kerajaan, masih ada ‘secebis’ tolak ansur apabila Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Khairy Jamaluddin telah menerima pujian daripada bekas Menteri Kesihatan Malaysia, Datu Seri Dr Dzulkefly Ahmad .

Menerusi perkongsian video dari Astro Awani, dapat didengar Dr Zul memuji dengan perkataan “excellent Menteri” susulan tindakan Khairy yang bersetuju dengan pendapat Ahli Parlimen Kuala Selangor di blok pembangkang itu mengenai isu vaksinasi.

Beliau juga memaklumkan yang mungkin mereka boleh bekerjasama untuk menangani permasalahan yang disebut bagi memastikan sebarang isu vaksinasi untuk rakyat Malaysia dapat ditangani dengan cermat.

Sehubungan dengan perkongsian  di Twitter Astro Awani itu, rata-rata warganet berasa ‘tenang’ dan memuji kedua-dua ahli parlimen tersebut yang menjawab serta menerima pendapat masing-masing dengan matang.

Mereka juga berharap agar semua ahli parlimen dapat mengutarakan pendapat serta bekerjasama dalam sebarang isu berkaitan rakyat agar mampu menangani masalah pandemik di dalam negara dengan sebaiknya.

 

Sumber: Twitter @501Awani